Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

OPERASI bersepadu telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terhadap pemborong beras sekitar Selangor, semalam

Operasi bersepadu itu turut mengambil sampel untuk analisis bagi memastikan tiada kegiatan pertukaran kampit atau mencampurkan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI).

Dalam kenyataan KPKM hari ini,
Timbalan Menteri KPKM Chan Foong Hin yang mengetuai operasi itu telah mengambil sampel beras mengikut prosedur penguatkuasaan yang ditetapkan dan akan diserahkan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk tujuan analisis.

Operasi itu dilaksanakan kerjasama penguatkuasaan rentas agensi antaranya Penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Operasi tersebut membabitkan 42 anggota penguat kuasa dan PDRM meliputi pengambilan sampel beras dan pengiraan stok fizikal beras dalam simpanan gudang.

Hasil pemeriksaan awal mendapati semua premis pemborong beras mempunyai bekalan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI), lesen masih sah tempoh dan simpanan beras tidak melebihi had muatan yang dilesenkan.

KPKM akan meneruskan kerjasama penguatkuasaan rentas kementerian dan agensi melalui Operasi Bersepadu BPT dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampur BPT dan BPI atau menyembunyikan bekalan BPT. -Media Perpaduan