Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PELAJAR politeknik dan kolej komuniti kini boleh menikmati inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan, bermula hari ini

Kementerian Pengangkutan (MoT) dalam satu kenyataan berkata, inisiatif yang sebelum ini dinikmati oleh pelajar universiti awam kini diperluaskan bukan sahaja kepada pelajar kemahiran di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), malah boleh dinikmati pelajar matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurut MoT, mereka yang mendaftar dengan politeknik, kolej komuniti, matrikulasi dan institut pendidikan guru sehingga sesi akademik 2022/2023 serta belum menamatkan pengajian selepas sesi akademik berkenaan layak mendapat manfaat itu.

“Mereka boleh menyemak kelayakan di laman sesawang MOT di https://subsidiudara.mot.gov.my/

“Sekiranya pelajar didapati tidak layak, pelajar boleh membuat semakan dan rayuan kepada KPT atau KPM melalui institusi pendidikan masing-masing,” menurut kenyataan itu, hari ini.

MoT berkata, selepas menerima permohonan terbabit, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai ‘credit shell’ untuk membeli tiket penerbangan.

“Sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM300, baki baucar digital akan kekal dalam ‘credit shell’ dan boleh digunakan untuk pembelian tiket seterusnya,” katanya.

MoT berkata, subsidi pembelian tiket penerbangan itu boleh ditebus daripada sebarang syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (termasuk MASwings dan FireFly), AirAsia, Batik Air dan MYAirline.

“Tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Dis ini.

“Bagaimanapun, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan,” katanya. -Media Perpaduan