KUALA LUMPUR: Kadar gaji minimum akan dinaikkan kepada RM2,000 sebulan berbanding RM1,700 ketika ini, berkuat kuasa Jun tahun depan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bakal membabitkan lebih empat juta pekerja.
Perdana Menteri berkata, ia bertujuan merapatkan jurang produktiviti dan upah pekerja, susulan pendapatan rakyat yang tidak meningkat sejajar dengan kenaikan harga barangan.
“Oleh itu, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000.
“Kadar ini berkuat kuasa Jun 2027,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata, pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia masih rendah pada kadar 33.9 peratus, sekali gus menjadi antara perkara yang diberi perhatian kerajaan dalam usaha menangani isu pendapatan pekerja.
Bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu bagi memberi ruang mereka menyesuaikan model perniagaan.
Katanya, kadar gaji minimum hanya meningkatkan lantai pendapatan pekerja, sedangkan upah pekerja mahir masih tidak setimpal dengan tahap kelayakan mereka.
Sehubungan itu, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.
Dalam pada itu, kerajaan menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini.
Anwar berkata, langkah berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 230,000 pekerja.
Beliau turut menyeru semua majikan swasta supaya mengikut langkah kerajaan dan GLIC serta GLC dalam menawarkan kadar upah lebih wajar, termasuk mengambil teladan daripada beberapa majikan dalam sektor utama perbankan serta minyak dan gas yang sudah menetapkan gaji lebih baik.
Berkaitan pembayaran gaji, Anwar berkata, syarikat selain PMKS hanya boleh menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji jika pembayaran dibuat melalui akaun bank, selaras saluran dibenarkan bawah Akta Kerja 1955 bagi menutup ruang majikan menggaji pekerja asing tanpa izin (PATI).
Potongan cukai bagi perbelanjaan lain tidak tertakluk kepada syarat berkenaan.-BH Online
