Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memaklumkan proses penentuan aset sudah mencapai atau melepasi jangka hayat asal tidak dibuat berdasarkan usia aset itu semata-mata.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia sebaliknya turut mengambil kira penilaian bagi keperluan operasi, keadaan teknikal, tahap keselamatan, keusangan teknologi, kos kitar hayat, kebolehsenggaraan dan ketersediaan aset pengganti.

Beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga memiliki Dasar Kasting ATM bagi menentukan jangka hayat aset, selain menggunakan beberapa mekanisme utama bagi aset mencapai atau melepasi jangka hayat.

Mekanisme itu, katanya, membabitkan perlanjutan hayat perkhidmatan (SLEP), penggantian aset baharu atau penamatan perkhidmatan.

“SLEP akan dipertimbangkan jika aset masih relevan, memiliki nilai operasi, boleh dipulihkan atau dinaik taraf dengan selamat serta kos perlanjutannya munasabah berbanding perolehan aset baharu.

“Pertimbangan ini dibuat melalui Analisis Kos dan Faedah serta Analisis Pihak Berkepentingan dengan mengambil kira kemampuan peruntukan kewangan dan keperluan operasi.

“Kerja naik taraf melalui penggantian peralatan usang juga boleh dilaksanakan bagi mengekalkan kesiapsiagaan dan kesinambungan operasi sesuatu aset, selaras perkembangan teknologi pertahanan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai dasar dan mekanisme

Mohamed Khaled berkata, kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) misalnya akan menjalani kerja naik taraf pertengahan hayat (MLU) semasa Refit Kedua yang akan bermula dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, ini memandangkan aset strategik berkenaan sudah menghampiri separuh jangka hayatnya dan berdepan isu keusangan beberapa peralatan, kerja penggantian dan naik taraf diperlukan bagi memastikan keupayaan aset kekal relevan.

Katanya, tempoh Refit dipilih sebagai masa sesuai kerana pelaksanaan MLU memerlukan tempoh henti operasi panjang.

“Sebaliknya, mekanisme penggantian akan dipertimbangkan jika aset tidak lagi memenuhi keperluan operasi, risiko keselamatannya tidak dapat diurus atau kos penyelenggaraan dan perlanjutan hayatnya tidak lagi ekonomik.

“Bagi TLDM khususnya, keputusan ini turut mengambil kira pelaksanaan Program Transformasi 15-to-5, bagi menyelaraskan penamatan aset lama dengan kemasukan aset baharu untuk memastikan kesinambungan keupayaan armada,” katanya. -BH Online