KUALA LUMPUR: Pasport Malaysia kini berada di kedudukan kedua dunia dalam The Passport Index Global Ranking 2026, meningkat daripada tangga ketiga pada tahun lalu.
Jabatan Imigresen (Imigresen) dalam kenyataan, hari ini berkata berdasarkan penarafan itu, pemegang Pasport Malaysia mempunyai akses ke 175 destinasi.
“Daripada jumlah itu, 129 destinasi menawarkan kemudahan bebas visa, manakala 46 destinasi membenarkan visa semasa ketibaan.
“Sebanyak 23 destinasi pula memerlukan visa,” katanya.
Imigresen berkata pencapaian itu mencerminkan kekuatan dan penerimaan Pasport Malaysia di peringkat antarabangsa.
Berdasarkan semakan Passport Index, Malaysia berkongsi kedudukan kedua dengan Singapura dalam Global Passport Power Rank 2026, masing-masing dengan Mobility Score 175.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) menduduki tangga pertama dengan Mobility Score 182, manakala Sepanyol berada di tempat ketiga dengan skor 174.
Malaysia sebelum ini menduduki tangga ketiga dalam ranking sama pada 2025 dengan Mobility Score 174. -BH Online
