Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi sokongan penuh kepada program yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan untuk meningkatkan keterjaminan makanan negara dan meringankan beban kos sara hidup rakyat terutamanya penduduk luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) yang menggariskan beberapa strategi untuk mempertingkatkan peranan luar bandar sebagai hab keselamatan makanan negara

“KKDW sendiri telah menjalankan pelbagai inisiatif seperti program Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) yang mengoptimumkan pembangunan di tanah-tanah terbiar dalam beberapa perkampungan sedia ada dengan membangunkan niche product dan dikembangkan supaya wujud ekonomi berskala besar,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, KKDW melalui FELCRA telah membangunkan estet padi FELCRA di Seberang Perak dengan keluasan 3,263.82 hektar.

Katanya, hasil keluaran kasar untuk dua musim setahun sehingga pertengahan 2023 ialah sebanyak 23,737 mt.

“FELCRA pula akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah dalam membangunkan antara 15,000 hingga 20,000 hektar tanah untuk penanaman padi secara berkelompok.

“Usaha ini juga diharapkan dapat membantu Kerajaan menstabilkan stok penimbal beras yang disasarkan mencapai 290,000 tan pada tahun ini dan meningkatkan keterjaminan makanan negara,” katanya.

Menyentuh mengenai penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan serta penternakan ayam dan lembu, Ahmad Zahid berkata, Lembaga Kemajuan Wilayah di bawah KKDW juga akan meneruskan pelaksanaan program peningkatan sekuriti makanan dan melaksanakan projek-projek akuakultur.

“Dalam hal ini, KKDW akan bekerjasama erat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan Tahap Sara Diri yang disasarkan dapat dicapai.

“Saya telah meminta pasukan di KKDW mengenalpasti tanah yang sesuai termasuk tanah terbiar untuk projek keterjaminan berskala besar seperti yang dilaksanakan di kawasan pertanian Sungai Sembrong Kiri, Kluang dengan keluasan 176 ekar.

“Jangkaan hasil daripada program ini adalah pengeluaran buah kelapa mentah sebanyak 600 metrik tan setahun dengan anggaran pendapatan sebanyak RM483 ribu setahun.

“Selain itu, jangkaan hasil pengeluaran santan adalah sebanyak 180 metrik tan setahun dengan anggaran pendapatan sebanyak RM1.4 juta setahun,” katanya. -Media Perpaduan