Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LANGKAH mengurangkan subsidi bukanlah satu pilihan untuk dilaksanakan Kerajaan Perpaduan meskipun subsidi yang ditanggung adalah tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, langkah mengurangkan subsidi akan membebankan rakyat berpendapatan rendah.

Beliau berkata, subsidi ditanggung kerajaan untuk rakyat termasuk elektrik, minyak dan makanan dijangka mencecah RM81 bilion tahun ini.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan perlu mengemukakan satu dasar yang lebih ampuh dan realistik untuk menyelamatkan ekonomi negara iaitu melalui rasionalisasi pemberian subsidi.

Katanya, antara langkah menarik subsidi daripada golongan kaya yang dilakukan kerajaan baru-baru ini adalah tarif elektrik.

“Elektrik itu hanya satu peratus terkaya sahaja dibatalkan subsidi, maka mereka bayar harga pasaran, manakala 99 peratus rakyat tidak terkesan.

“Kemudian haji, selama ini Tabung Haji beri kepada semua jemaah haji, maka baru-baru ini saya minta Tabung Haji kaji semula (dan) orang kaya yang berpendapatan RM1 juta satu bulan, RM10,000 satu bulan tidak perlu mendapat subsidi. Mereka mendapat haji mabrur dengan keupayaan mereka.

“Tetapi subsidi untuk rakyat terpaksa diteruskan dan sebab itu tahun ini kita perkenalkan rasionalisasi ini,” katanya.

Anwar berkata demikian pada Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Malaysia MADANI juga antara ‘perencah’ penting dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 13 Oktober ini.

Seramai 1,837 peserta daripada pelbagai agensi hal ehwal Islam peringkat Persekutuan dan negeri dari seluruh negara hadir dalam IJPAM 2023 yang berlangsung bermula 30 September sehingga hari ini. -Media Perpaduan