Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PEMBANGKANG Perikatan Nasional (PN) tidak sepatutnya mempolitikkan isu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam usaha memastikan bekalan beras putih tempatan untuk keperluan rakyat.

Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran berkata, meskipun tugas utama mengedar sayur dan buah buahan, tidak bermakna FAMA tidak boleh terlibat secara langsung untuk membantu rakyat daripada terputus bekalan beras putih tempatan.

“Saya nasihatkan pembangkang (PN) untuk bersama-sama mencari penyelesaian kerana isu beras ini mendatangkan kesan kepada semua orang tanpa mengira parti politik.

“Pembangkang perlu memberi cadangan yang membina, bukan merumitkan keadaan dan menyalahkan kerajaan,” katanya dipetik Suara Keadilan.

Beliau berkata demikian mengulas kecaman Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyindir tindakan kerajaan mengerah FAMA mengedar bekalan beras putih tempatan sebagai tidak wajar.

Yuneswaran menjelaskan, isu kekurangan beras tidak sepatutnya diletakkan di bahu Kerajaan Perpaduan sahaja yang kurang setahun mentadbir, sebaliknya beban masalah itu juga perlu dipikul PN yang sebelum ini menerajui negara selama 33 bulan.

Beliau berkata, berbanding dengan kerajaan terdahulu, Kerajaan Madani lebih serius dalam menyelesaikan isu bekalan dan menggunakan apa sahaja sumber kerajaan untuk memudahkan urusan pengedaran dan penjualan bahan makanan.

“(Sebenarnya) pelan yang tidak cekap oleh kerajaan sebelum ini menyebabkan shortage (kekurangan) beras tiba-tiba berlaku. Sebab itu, pembangkang tidak boleh menyalahkan Kerajaan sahaja.

“Walaupun Kerajaan Perpaduan baru 10 bulan mentadbir tetapi kita serius dengan mewujudkan satu kementerian yang khusus kepada keterjaminan makanan, sebelum ini (PN) tidak ada pun,” katanya.

Kelmarin, dalam ceramahnya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, Muhyiddin mencemuh tindakan kerajaan yang mengarahkan FAMA untuk terbabit dalam pengedaran beras.

Dakwanya, tindakan itu akan menyukarkan tugas harian FAMA mengangkut sayur sayuran dan buah buahan dari ladang ke pasar.

Bagaimanapun, Muhyiddin tidak pula memberi cadangan agensi mana yang boleh digunakan oleh kerajaan bagi menggantikan peranan FAMA. -Media Perpaduan