Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Prinsip kedaulatan undang-undang mesti dipertahankan secara konsisten tanpa mengira kedudukan politik atau identiti mana-mana individu yang terlibat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata keputusan pendakwaan hendaklah dibuat berdasarkan pertimbangan undang-undang, fakta dan bukti, bukan kerana tekanan atau kehendak politik.

Dalam isu desakan Ahli Parlimen Jelutong supaya Perdana Menteri memastikan seseorang dituduh semula, beliau menegaskan, persoalan asas yang perlu diberikan perhatian ialah kedudukan kuasa pendakwaan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan keperluan untuk mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan berkaitan kes individu.

“Perdana Menteri bukan pendakwa raya. Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan, tertakluk kepada kerangka perlembagaan dan undang-undang yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata, prinsip kebebasan pendakwaan mesti dihormati dalam amalan politik, bukan sekadar dalam cadangan perubahan institusi.

Beliau berkata, mana-mana pihak berhak mempersoalkan keputusan pendakwaan dan menuntut penjelasan yang munasabah, namun perbezaan keputusan antara kes tidak dengan sendirinya membuktikan berlakunya campur tangan politik atau layanan berat sebelah.

Dalam kes itu, katanya, Jabatan Peguam Negara telah memberikan penjelasan berhubung alasan permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).

Sehubungan itu, beliau berkata, kritikan terhadap sesuatu keputusan perlu disokong oleh fakta dan asas yang jelas, bukannya andaian atau tekanan politik semata-mata.

“Prinsip keadilan mesti terpakai kepada semua, sama ada pemimpin kerajaan, pembangkang atau rakyat biasa.

“Tiada sesiapa yang harus diberikan kekebalan daripada undang-undang hanya kerana jawatan atau kedudukan politik. Mana-mana individu termasuk pemimpin UMNO berhak mendapat proses undang-undang yang adil dan tidak boleh dijadikan sasaran pendakwaan semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik,” katanya.

Mengulas proses kehakiman dalam kes Yayasan Akalbudi, beliau berkata, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam Malaysia memulakan prosiding semakan kehakiman.

Katanya, prosiding berkaitan masih berjalan dan persoalan undang-undang yang dipertikaikan hendaklah diputuskan oleh mahkamah.

“Desakan politik supaya Perdana Menteri menentukan tindakan pendakwaan bukan pengganti kepada proses itu.

“UMNO menghormati hak mana-mana pihak untuk menggunakan saluran undang-undang yang tersedia dan pada masa yang sama menegaskan bahawa proses mahkamah mesti diberikan ruang untuk berjalan tanpa tekanan politik,” katanya. -BH Online