MELAKA: Musyawarah Nasional 3.0 – Membongkar Polemik Tanah Melayu hari ini mencadangkan tiga perkara bagi memupuk kefahaman mengenai Perlembagaan negara.
Pengasas Musyawarah Nasional merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan pertama adalah memperkukuh kefahaman menerusi pendidikan sejarah.
“Anak-anak kita perlu dibimbing untuk meneliti sumber, memahami cara sejarah itu dibentuk dan dibuktikan. Berilah mereka ruang untuk bertanya dan menguji tafsiran, dengan tetap bertanggungjawab terhadap fakta.
“Dalam dunia yang dibanjiri maklumat, keupayaan ini semakin penting. Teknologi boleh menjadikan sesuatu cerita tular, tetapi ilmu diperlukan untuk menguji sama ada cerita itu benar,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ahmad Zahid berkata cadangan kedua adalah membina kefahaman bersama-sama mengenai asas negara walaupun berbeza aliran pendidikan.
Katanya setiap anak Malaysia perlu memahami sejarah pembentukan negara, walaupun mereka melangkah ke dunia dengan pandangan yang luas namun tetap perlu mengenali tanah air dan tanggungjawab terhadapnya.
“Ketiga, kaji keperluan kerangka perundangan khusus untuk memelihara keharmonian negara. Hasutan kebencian mesti dikekang melalui peruntukan yang jelas dan proses yang adil.
“Pada masa sama, kajian akademik, perbahasan berasaskan fakta dan kritikan yang sah mesti terus dilindungi. Ruang ilmu perlu subur dan kehidupan bersama-sama perlu terpelihara,” katanya.
Beliau turut memberi rumusan AKAR iaitu akronim bagi Asal-Usul Difahami Dengan Ilmu, Kenegaraan Berpaksikan Perlembagaan, Adab Mengurus Perbezaan dan Rakyat Berkongsi Masa Depan.
“Berpegang pada AKAR ini, musyawarah kita mesti membawa hasil. Selepas polemik dibongkar, mesti ada kefahaman yang dibina. Selepas musyawarah berakhir, mesti ada kerja yang diteruskan.
“Kita membicarakan Tanah Melayu bukan semata-mata untuk memenangkan hujah tentang masa lalu. Kita mengenali AKAR supaya tidak kehilangan haluan ketika membina masa hadapan,” katanya.– BERNAMA
