KUALA LUMPUR: Penganjur acara larian digesa menyelaras laluan tetap di ibu negara dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi mengurangkan gangguan trafik akibat penutupan jalan yang berubah-ubah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah menetapkan laluan standard berdasarkan jarak larian, untuk digunakan oleh penganjur acara.
“Tiga kilometer, ini laluannya. Lima kilometer, ini laluannya. Penganjur tidak boleh sesuka hati memilih laluan mana yang mereka nak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembersihan Mega Hari Cuci Malaysia, di Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda di sini hari ini.
Hannah berkata penyelarasan itu penting, supaya pengguna jalan raya dapat mengetahui lebih awal laluan yang terlibat bagi merancang perjalanan mereka.
“Untuk minggu ini sahaja, satu larian, 30 jalan ditutup. Saya tak boleh terima ini.
“Saya tidak mahu orang ramai tidak dapat merancang perjalanan untuk masuk ke bandar. Kita perlu pastikan larian ini tersusun,” katanya.
Hannah berkata langkah itu bukan bertujuan menghalang penganjuran acara larian, sebaliknya memastikan acara sedemikian dapat dilaksanakan secara lebih teratur tanpa menjejaskan pergerakan trafik di ibu negara, memandangkan lebih sejuta kenderaan memasuki Kuala Lumpur setiap hari.
Beliau berkata penganjur yang memerlukan laluan berbeza boleh mempertimbangkan lokasi lain yang kurang sesak, selain memanfaatkan laluan sedia ada seperti yang digunakan bagi program hari Tanpa Kenderaan.
“Kuala Lumpur sebuah kota raya yang perlu tersusun. Saya tidak mahu orang ramai membazir masa berjam-jam menunggu jalan dibuka,” katanya.– BERNAMA
