KUALA LUMPUR: “Imigresen tidak lagi bersikap bertahan, sebaliknya bertindak secara ‘menyerang’ untuk melumpuhkan punca utama sindiket.
“Kepimpinan KDN tegas memusnahkan rantaian penipuan ini dari akar umbi tanpa sebarang toleransi,” tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution mengungkapkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook, hari ini, berkaitan kejayaan Op Serkap dalam membongkar kegiatan penyediaan pas kerja sementara dan laporan polis disyaki palsu di Jalan Chan Sow Lin di sini, kelmarin.
Katanya, Op Serkap mencerminkan pendekatan ofensif Kementerian Dalam Negeri (KDN) melumpuhkan sindiket itu daripada akar umbi.
“Malaysia bukan padang permainan untuk penjenayah. Mana-mana pihak asing atau warga tempatan cuba melanggar undang-undang, memalsukan dokumen atau mengendalikan aktiviti haram akan diburu, ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan mengikut lunas.
“Tiada kompromi untuk sindiket haram: KDN gempur pemalsu dokumen, pelihara kedaulatan tanah air,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, Imigresen tidak lagi bersikap bertahan, sebaliknya bertindak secara menyerang bagi menyasarkan punca utama sindiket.
“Tindakan itu penting bagi memutuskan rantaian penipuan memanipulasi sistem pekerja asing dan mengaut keuntungan menerusi penjualan dokumen palsu.
“Sepanjang saya menerajui KDN, kami membuktikan kuasa pentadbiran mesti digunakan secara berani demi melindungi keselamatan negara,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, Op Serkap menyaksikan 11 premis di kawasan komersial Jalan Chan Sow Lin digempur serentak dengan 40 pegawai penguat kuasa Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya digerakkan.
Beliau berkata, 30 warga asing ditahan, termasuk 11 warga Bangladesh, terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita disyaki mengendalikan premis berkenaan.
Katanya, 19 lagi yang ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen terdiri daripada 16 warga Bangladesh, seorang warga Myanmar dan dua warga Indonesia.
“Sebanyak 18 komputer riba, 21 pencetak dan pengimbas, tiga telefon bimbit serta 10 pasport antarabangsa Bangladesh dirampas.
“Turut dirampas ialah cetakan Pas Lawatan Kerja Sementara elektronik (e-PLKS) dan laporan polis yang disyaki palsu,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, e-PLKS disyaki palsu itu ditawarkan pada harga RM150 sehelai, manakala laporan polis disyaki palsu pada kadar RM70 setiap satu.
Beliau berkata, kerajaan komited memastikan sistem imigresen bersih, mengawal ketat pintu masuk negara serta melindungi pasaran kerja tempatan daripada dieksploitasi sindiket haram.
Terdahulu, Imigresen pada kenyataan malam tadi, memaklumkan Op Serkap dilaksanakan serentak di 11 premis sekitar kawasan komersial Jalan Chan Sow Lin, 12.50 tengah hari, kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dilaporkan berkata, operasi membabitkan 40 pegawai Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya menyerbu premis disyaki menawarkan perkhidmatan penyediaan e-PLKS palsu.
Dokumen itu dipercayai digunakan bagi mengaburi pihak kedutaan dalam urusan permohonan pasport antarabangsa Bangladesh.
Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi serta pihak lain yang mungkin terbabit dalam kegiatan itu.
Semua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta peruntukan undang-undang lain berkaitan. -BH Online

