KOTA KINABALU: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggalakkan penganjur menyesuaikan pelaksanaan acara di kawasan terbuka dalam situasi jerebu ketika ini, termasuk memindahkannya ke lokasi tertutup jika tahap pencemaran udara semakin buruk.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, langkah terbabit penting bagi mengurangkan pendedahan orang ramai kepada udara tercemar, khususnya ketika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan bersesuaian akan diambil berdasarkan keadaan semasa dan tahap jerebu, selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihaknya.
“Sebagai contoh, sambutan Hari Malaysia di Kuching dipindahkan ke dalam bangunan (indoor) di Borneo Convention Centre, manakala persembahan bunga api tidak dibenarkan.
“Jadi, kita akan melihat keadaan semasa dan menyesuaikan penganjuran acara terbuka berdasarkan situasi jerebu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Bersama Pemimpin Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2026 / 2027 bertempat di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, semalam.
Dalam pada itu, Arthur turut berkata pada tahap IPU hijau atau biru yang dikategorikan sebagai sihat dan sederhana, keadaan masih terkawal, manakala tahap kuning atau tidak sihat akan menyaksikan pengeluaran amaran serta peningkatan kerjasama dengan agensi dan kementerian berkaitan.
“Jika mencapai tahap merah atau sangat tidak sihat, langkah lebih drastik boleh diambil termasuk pengisytiharan darurat tempatan seperti yang pernah berlaku di Serian dan Kuching sebelum keadaan kembali baik,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Arthur berkata kerajaan Persekutuan sudah menghantar surat penawaran bantuan kepada kerajaan Indonesia bagi membantu memadam kebakaran hutan di Kalimantan yang berpotensi menyebabkan jerebu rentas sempadan.
Katanya, bantuan terbabit termasuk aset pesawat untuk operasi pengeboman air (water bombing) serta tenaga kerja bagi membantu memadam kebakaran.
Menurutnya, beliau sudah mengadakan perbincangan secara bersemuka dan menerusi telefon bersama Menteri Lingkungan Hidup Indonesia berhubung peningkatan tompok panas di Kalimantan.
Arthur berkata, peningkatan 808 tompok panas yang dikesan di Kalimantan sudah dijangka susulan ramalan Monsun Barat Daya dan fenomena El Nino yang membawa suhu lebih tinggi serta keadaan udara kering.
“Jerebu adalah isu rentas sempadan dan apa yang berlaku di sesebuah negara akan memberi kesan kepada negara jiran.
“Justeru, Malaysia sudah menghantar surat penawaran bantuan pemadaman api, termasuk aset pesawat untuk pengeboman air dan bantuan tenaga kerja,” katanya. -BH Online
