Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat supaya terus memelihara semangat kebersamaan, memperkukuh perpaduan dan menjaga keharmonian sempena sambutan Hari Malaysia 2026.

Menerusi hantaran di media sosial sempena Hari Malaysia hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, kekuatan negara terletak pada kesatuan rakyat yang terdiri pelbagai bangsa, agama, budaya dan latar belakang.

“Perbezaan yang wujud dalam kalangan rakyat bukan penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan dalam membentuk identiti Malaysia.

“Perjalanan Malaysia sejak 1963 terus mengajar kita bahawa kemajuan dan kesejahteraan hanya dapat dibina apabila kita bergerak bersama, saling menghormati dan menjaga keharmonian yang kita warisi,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata semangat kebersamaan itu perlu terus dipelihara bagi membina Malaysia yang lebih makmur, berdaya tahan dan disegani.

Beliau turut mengajak rakyat bersama-sama memperkukuh perpaduan dan memainkan peranan dalam memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

“Selamat Menyambut Hari Malaysia 2026,” katanya menerusi hantaran berkenaan. -BH Online