Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Jeddah dan Makkah berada dalam keadaan selamat susulan amaran kecemasan yang dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi semalam.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata pihaknya sudah mengedarkan grafik rasmi yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam kumpulan WhatsApp rakyat Malaysia di Wilayah Hijazi.

“Alhamdulillah di Jeddah dan Makkah semuanya baik. 

“Kita ada edarkan grafik daripada Kementerian Dalam Negeri Saudi dalam kumpulan WhatsApp rakyat Malaysia di Wilayah Hijazi.

“Yang penting rakyat Malaysia tidak panik. Kita ingatkan juga supaya jangan sebarkan video kerana itu kesalahan besar di Arab Saudi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini. 

Saudi keluarkan amaran potensi bahaya

Semalam, Arab Saudi mengeluarkan amaran kecemasan ‘potensi bahaya’ di Jeddah, Makkah dan Taif di bahagian barat negara itu, serta menggesa penduduk berlindung dan mematuhi arahan keselamatan rasmi. 

Memetik laporan Anadolu Ajansi, Platform Amaran Awal Kebangsaan bagi Kecemasan Arab Saudi menggesa penduduk supaya berlindung serta mematuhi arahan keselamatan rasmi.

Amaran berkenaan dikeluarkan ketika pertempuran antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi di Yaman semakin memuncak, dengan kumpulan itu melancarkan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron. 

Jemaah umrah teruskan ibadah

Sementara itu, Pengerusi Qasswa Travel and Tours (M) Sdn Bhd, Datuk Mohd Najib Alwi, berkata setakat ini agensinya kekal meneruskan ibadah umrah yang sudah dirancang kerana tiada sebarang pembatalan dikenakan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. 

“Agensi kami menggunakan visa umrah dan sehingga kini tiada sebarang pembatalan. Jika kementerian itu membatalkan, kami akan turuti,” katanya. 

Mungkin ini kali pertama amaran dikeluarkan, jika sudah tiga kali mungkin perlu dipertimbangkan. Agensi juga akan memantau keadaan semasa dan bertanya kepada muassasah keadaan terkini. 

“Dalam masa sama, kami juga akan mengikut sebarang nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar,” katanya yang akan berlepas menunaikan ibadah umrah bersama jemaah pada 21 September ini. 

Sekiranya berlaku pembatalan, kebiasaannya jadual penerbangan dan sebagainya hanya akan berubah tarikh. 

“Kebiasaannya agensi saya menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines dan Turkish Airlines, di mana kedua-duanya sangat waspada kepada sebarang perkembangan yang berlaku dan akan membatalkan penerbangan tiga ke empat hari sebelum tarikh sebenar. 

“Jemaah saya setakat ini semuanya memahami keadaan dan kemungkinan yang berlaku,” katanya. 

Dalam pada itu, Wisma Putra ketika diminta mengulas mengenai amaran itu dan tindakan yang akan dilakukan, pihaknya kini sedang memantau perkembangan itu dengan rapi. -BH Online