Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MALÉ, Maldives: Malaysia akan berusaha menyelesaikan isu birokrasi yang menjejaskan pelajar Maldives dan ibu bapa mereka, selain memperkukuh kerjasama dalam bidang kesihatan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, lebih 2,000 pelajar Maldives kini menuntut di Malaysia, sekali gus mencerminkan keyakinan mereka terhadap sistem pendidikan negara.

“Kita perlu membalas kemudahan itu,” katanya, merujuk kepada usaha Malaysia memastikan persekitaran yang kondusif untuk pelajar Maldives.

Anwar berkata, beliau sudah membincangkan beberapa “isu birokrasi peringkat awal” dengan rakan Kabinet membabitkan ibu bapa yang menemani anak mereka dan akan berusaha menyelesaikannya pada mesyuarat Kabinet akan datang.

“Saya tidak fikir ia berkaitan perbezaan dasar. Kita tidak mempunyai masalah dengan rakyat Maldives yang tinggal, bekerja atau belajar di Malaysia.

“Jadi, saya fikir kita akan menunjukkan perkara ini dan memberikan respons positif,” katanya pada sidang media bersama Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu, di sini, hari ini.

Mengenai bidang kesihatan, Anwar berkata kerangka ekonomi MADANI Malaysia memberi penekanan besar terhadap nilai belas kasihan, penjagaan dan sokongan, termasuk kesihatan mental serta golongan orang kurang upaya (OKU).

“Saya tidak percaya isu ini tidak boleh diselesaikan kerana ia sebahagian daripada falsafah nasional kita,” katanya sambil menegaskan Malaysia mahu perkara itu diselesaikan segera.

Anwar berkata jumlah kes yang terbabit agak kecil dan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kedua-dua negara untuk mencari penyelesaian praktikal.

Sementara itu, Muizzu menekankan kepentingan peranan Malaysia yang sudah lama membantu membangunkan modal insan Maldives.

Beliau merakamkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Malaysia menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), selain memperluas peluang biasiswa pendidikan tinggi kepada pelajar Maldives.

“Kami bersetuju untuk berusaha meningkatkan kemudahan visa, memperluas peluang biasiswa dan melaksanakan inisiatif penyelidikan bersama,” katanya.

Muizzu berkata, kedua-dua negara turut akan memperkukuh kerjasama institusi antara institusi pengajian tinggi masing-masing.

Beliau turut berterima kasih kepada Malaysia atas layanan dan hospitaliti yang diberikan kepada komuniti Maldives di negara ini, sambil memaklumkan kedua-dua pihak membincangkan langkah praktikal bagi menangani cabaran dihadapi pelajar Maldives serta pesakit yang mendapatkan rawatan kesihatan khusus di Malaysia.

Katanya, pelancongan kekal menjadi jambatan penting yang menghubungkan kedua-dua negara.

“Kami bersetuju memperdalam kerjasama dalam promosi pelancongan, industri halal, pertukaran budaya dan pelancongan mesra Muslim.

“Kami juga akan bekerjasama meningkatkan aliran pelancongan antara kedua-dua negara serta mempromosikan ekopelancongan mampan, sekali gus mewujudkan peluang lebih besar untuk hubungan rakyat dengan rakyat serta aktiviti ekonomi yang saling menguntungkan dalam perdagangan dan pelaburan.

“Kami meneroka laluan konkrit untuk memperluas kerjasama ekonomi. Yang penting, kami bersetuju memulakan rundingan bagi perjanjian perdagangan keutamaan yang berpotensi membuka peluang baharu kepada perniagaan di kedua-dua negara.”

Muizzu berkata, Maldives dan Malaysia akan bekerjasama meningkatkan aliran pelancongan antara kedua-dua negara serta mempromosikan ekopelancongan mampan bagi memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat dan mewujudkan aktiviti ekonomi yang saling menguntungkan.

Beliau berkata lawatan Anwar itu mengukuhkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua negara yang sudah terjalin selama 58 tahun, selain membalas kunjungan rasmi beliau ke Malaysia pada April 2025. -BH Online