PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memperkukuh pemantauan terhadap aspek tata kelola, integriti dan pengurusan kewangan di semua agensi serta anak syarikat agensi di bawahnya.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata langkah berkenaan penting bagi memastikan setiap organisasi di bawah kementerian diurus secara telus, berintegriti serta mematuhi sepenuhnya peraturan dan tatacara ditetapkan.
“Saya mahu setiap organisasi di bawah KPKM diurus secara telus, berintegriti dan mematuhi sepenuhnya peraturan serta tatacara yang ditetapkan.
“Sebarang kelemahan dalam pengurusan, ketidakpatuhan atau perkara yang boleh menjejaskan kepentingan awam hendaklah dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BH sebelum ini melaporkan seorang pengarah urusan sebuah syarikat pembekal baja yang dikaitkan isu kelewatan pengagihan input pertanian itu di Kedah, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Difahamkan, penahanan dibuat susulan siasatan dibuka terhadap sebuah syarikat pembekal baja sebatian tambahan (Baja 3) di Kedah.
Mohamad berkata, pengurusan agensi dan anak syarikat juga perlu memastikan setiap keputusan, perolehan serta penggunaan dana awam dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan boleh dipertanggungjawabkan.
“KPKM tidak akan berkompromi dalam soal integriti dan tata kelola. Amanah rakyat mesti dijaga dan setiap ringgit wang awam perlu diurus dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan 13 saksi sudah dipanggil dan dirakam kenyataan membabitkan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), empat pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan lapan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Siasatan awal mendapati sepanjang musim terbabit, sebuah syarikat sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja, namun sehingga September ini, hanya 333,655 beg baja dibekalkan, kekurangan 282,360.
Kes aduan berkenaan dibuka 26 Ogos lalu berkait dakwaan kegagalan syarikat pembekal baja, TaaVeeKun Manufacturing Sdn Bhd (Taaveekun) yang dilantik KPKM untuk membekal, menghantar dan mengedar Baja 3 di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan MADA.
Kawasan itu membabitkan keluasan 100,000 hektar untuk keperluan tanaman pada Musim 1 dan 2 tahun ini, bagi tempoh masa satu tahun yang membabitkan seramai 60,000 pesawah.
Justeru, KPKM melantik syarikat Taaveekun untuk membekalkan 1.23 juta beg bersamaan 30,800 tan baja bagi tempoh dua musim tahun ini, dengan nilai tender adalah sebanyak RM108,615,764.80 -BH Online
