GUA MUSANG: Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan ibu bapa membawa anak masing-masing yang mungkin menghadapi masalah pembelajaran untuk menjalani program saringan awal bagi mengesan isu seperti autisme, spektrum dan gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD).
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata saringan itu penting bagi pengesanan awal kanak-kanak yang berhadapan dengan kelewatan perkembangan atau masalah pembelajaran.
Katanya, program saringan itu dilaksanakan bersama pakar-pakar termasuk ahli psikologi dan terapi yang akan menilai secara menyeluruh perkembangan anak-anak.
“Kita memang sangat menggalakkan ibu bapa yang barangkali dalam bahasa mudahnya ‘rasa tak sedap hatilah’ tengok perkembangan anak dia, mungkin sedikit lambat dengan masalah pembelajaran.
“Jadi, kita mohon untuk datang ke KPM dan kita boleh lakukan pengesanan itu,” katanya ketika ditemui selepas Program Tindak Susul Parlimen Siri 3 di Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang.
Fadhlina berkata khidmat saringan terbabit disediakan secara percuma oleh kerajaan.
Katanya, ibu bapa memainkan peranan yang sangat besar bagi memastikan anak-anak terus diberikan sokongan sewajarnya dalam proses pembelajaran.
“Ibu bapa perlu mengambil peranan dan khidmat ini disediakan secara percuma oleh kerajaan. Jadi, kita kita jemputlah semua ibu bapa untuk sama-sama melaksanakan saringan ini supaya anak-anak kita ini terus diberikan sokongan,” katanya.-BH Online
