Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan menempatkan pegawai Unit Antidadah Sempadan (UAS) di Bukit Chagar, Johor dan di Woodlands, utara Singapura selaras dengan pembukaan perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link pada 31 Disember ini.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, berkata ketetapan itu juga mengambil kira pergerakan rentas sempadan secara signifikan dengan pembukaan perkhidmatan RTS Link.

Katanya, ketetapan itu, dimuktamadkan dalam mesyuarat dua hala AADK dan Biro Narkotik Pusat (CNB) bagi memperkukuh kerjasama strategik dan operasi, terutama dalam mendepani cabaran keselamatan sempadan menjelang pengoperasian RTS Link Johor Bahru-Singapura.

Beliau berkata, pembukaan itu sekali gus menuntut koordinasi dan kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan Malaysia-Singapura, demi memastikan persekitaran selamat dan bebas ancaman dadah.

“Sesi perbincangan ini menyediakan platform penting untuk AADK dan CNB memperincikan susunan operasi, mekanisma penyelarasan pegawai serta saluran komunikasi pantas di pintu masuk utama, iaitu Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Chagar di Johor dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands North di Singapura.

“AADK dan CNB turut meneliti perkembangan trend baharu ancaman dadah rentas sempadan yang semakin kompleks.

“Ini termasuk penggunaan teknologi dan platform dalam talian, kemunculan bahan psikoaktif baharu (NPS) serta modus operandi penyeludupan terkini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung di Kuala Lumpur itu dipengerusikan Ruslin bersama delegasi CNB Singapura, yang diketuai Timbalan Pengarah (Operasi) CNB, Aaron Tang.

Ruslin berkata, kejayaan kerjasama dua hala itu tidak hanya diukur melalui perbincangan rasmi, sebaliknya menerusi tindakan susulan konkrit dan praktikal dilaksanakan pasukan operasi kedua-dua pihak.

“AADK kekal komited memperkasa hubungan baik dalam aspek penguatkuasaan bersama agensi serantau demi melindungi kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara daripada ancaman penyalahgunaan serta penyeludupan dadah,” katanya.-BH Online