Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Kerajaan Persekutuan akan berusaha memastikan proses persempadanan semula kawasan Parlimen bagi Sabah dan Sarawak dapat disegerakan, susulan persetujuan meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkara berkenaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, proses itu sudah bermula dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini mempunyai beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum membuat kenyataan lanjut mengenai langkah seterusnya.

Beliau berkata, SPR perlu menyelesaikan perkara terbabit sebelum cadangan berkenaan dibentangkan kepada jemaah menteri.

“Yang penting proses itu sudah bermula dan pihak SPR sudah mengeluarkan kenyataan baru-baru ini dan mereka ada beberapa perkara yang perlu mereka selesaikan sebelum boleh membuat kenyataan tambahan mengenai bila mereka akan bentangkan kepada jemaah menteri dan kami bawa ke Parlimen kelak.

“Tetapi komitmen daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk pihak SPR menyegerakan proses ini,” katanya.

Fahmi berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kediaman seorang pengamal media Sarawak, Chimon Upon, yang keluarganya ditimpa musibah apabila bumbung daripada bangunan bersebelahan runtuh dan menghempap rumah mereka.

Fahmi berkata demikian mengulas adakah kerajaan optimis proses undang-undang dan persempadanan semula oleh SPR itu sempat disiapkan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, Anwar berkata kerajaan bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Anwar berkata keputusan itu turut melibatkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan peningkatan penyertaan Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri berkenaan.

Mengenai kerosakan kediaman keluarga Chimon akibat ribut pada 26 Ogos lalu, Fahmi berkata, struktur rumah keluarga berkenaan mengalami kerosakan dan pemeriksaan lanjut perlu dilakukan, termasuk terhadap dinding yang retak serta kemungkinan kerosakan pada pendawaian elektrik.

Beliau berkata bantuan disalurkan kepada Chimon menerusi Tabung Kasih@HAWANA, selain sumbangan Telekom Malaysia (TM) bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

Menurutnya lagi, setakat ini 58 warga media di Sarawak menerima bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA membabitkan jumlah keseluruhan RM172,000, manakala di Sabah seramai 33 penerima menerima bantuan berjumlah RM96,000.

“Selain itu, seramai 76 penerima secara keseluruhan sama ada di Sabah, Sarawak ataupun Semenanjung telah menerima bantuan di bawah peruntukan yang diberikan oleh TM,” katanya.

Fahmi berkata secara keseluruhan sejak Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan sehingga 15 September 2026, seramai 845 penerima mendapat manfaat dengan jumlah keseluruhan bantuan mencecah RM729,300.

Katanya, bantuan berkenaan bukan sekadar untuk meringankan beban penerima, malah menjadi tanda keprihatinan Kementerian Komunikasi dan Bernama terhadap kebajikan pengamal media yang berdepan musibah.

“Sumbangan dihulurkan bukan sekadar bantuan untuk meringankan beban mereka yang terbabit tetapi menunjukkan kami di Kementerian Komunikasi dan rakan-rakan di BERNAMA akan sentiasa bersama untuk menyantuni, memahami dan membantu rakan-rakan media yang bertugas dan ditimpa kemalangan,” katanya. -BH Online