PUTRAJAYA: Sesi “National Town Hall” atau dialog awam berhubung cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 (FOI) akan diadakan pada 28 Sept ini bagi mendapatkan pandangan lebih meluas daripada pihak berkepentingan dan orang awam, dalam usaha memperkemas lagi RUU berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sesi berkenaan akan dianjurkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Palimen, yang kini sedang meneliti cadangan RUU tersebut.
“RUU FOI merupakan satu reformasi penting. Kita perlu mengimbangi dengan teliti hak orang awam untuk mendapatkan maklumat dengan kepentingan awam dan kepentingan negara yang sah.
“Matlamat kita mudah, memastikan kita menggubal rang undang-undang ini dengan sebaiknya supaya ia jelas, boleh dilaksanakan dan berkesan dalam memenuhi kepentingan awam,” katanya dalam hantaran di Facebook di sini hari ini.
Azalina berkata selepas bacaan pertama pada 13 Julai lepas, RUU berkenaan telah dirujuk kepada JKPK untuk diperhalusi lagi, dengan mengambil kira pandangan Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik, ahli akademik, pakar undang-undang, pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil serta pihak berkepentingan lain, termasuk Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.
Azalina berkata beliau mengalu-alukan pandangan pakar undang-undang perlembagaan, Dr Shad, berhubung cadangan perundangan itu menerusi tulisan bertajuk Flaws present in the FOI Bill yang diterbitkan dalam akhbar The Star hari ini.– BERNAMA
