KUALA LUMPUR: Lebih 2,000 kekosongan jawatan ditawarkan pada Karnival LINDUNG Kerjaya yang dianjurkan sempena Festival Mega iLINDUNGu di Strand Mall, Kota Damansara, dari 18 hingga 20 September ini.
Karnival membabitkan penyertaan 25 majikan itu turut menyediakan bimbingan mengarang resume dan peluang padanan pekerjaan kepada pencari kerja yang hadir.
Festival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu menyasarkan kehadiran sehingga 60,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
PERKESO dalam satu kenyataan, memaklumkan penganjuran edisi ketiga itu turut memperkukuh pendekatan KESUMA Bersama Rakyat dengan menghimpunkan 11 agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi menyediakan akses terus kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan.
Antara agensi mengambil bahagian ialah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) serta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Pembabitan agensi berkenaan membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat berkaitan pekerjaan, pembangunan kemahiran, kebajikan tenaga kerja, perlindungan sosial serta pemerkasaan komuniti di satu lokasi.
“Festival ini juga menyediakan pelbagai perkhidmatan PERKESO secara langsung kepada pengunjung, antaranya saringan kesihatan percuma, agihan topi keledar, semakan caruman, khidmat nasihat faedah dan pendaftaran.
“Majikan juga berpeluang mendapatkan diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB). Khusus untuk pencarum yang opt-out LINDUNG 24 Jam, PERKESO menyediakan kaunter khas untuk opt-in semula ke dalam skim berkenaan.
“Untuk pencari kerja pula, MYFutureJobs akan menganjurkan Karnival LINDUNG Kerjaya membabitkan 25 majikan dengan lebih 2,000 kekosongan jawatan untuk diisi, selain menyediakan bimbingan resume dan peluang padanan pekerjaan kepada mereka,” menurut kenyataan itu.
Festival itu turut menghimpunkan lebih 60 pengusaha makanan dan minuman berdaftar di bawah LINDUNG Kendiri, termasuk Suka Dessert, Sushika dan Kunafa Aiwahhh, selain kupon diskaun disediakan kepada 100 pencarum terawal.
Menurut PERKESO, lebih 500 rider pula bakal menerima pelekat istimewa yang memaparkan inisiatif perlindungan sosial untuk ditampal pada topi keledar mereka.
Pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal.
Bagi memastikan festival berkenaan kekal mesra keluarga, pelbagai aktiviti turut disediakan, termasuk pertandingan Zumba bersama Sathiya Kandi, pertandingan fesyen kanak-kanak Dream Job bersama Elly Mazlein, pertandingan mewarna, kuiz LINDUNG dan sesi Talent Scout bersama Anne Ngasri.
Segmen Dapur iLINDUNGu menampilkan selebriti tempatan serta perkongsian kisah sebenar Orang Berinsurans (OB), termasuk penerima manfaat LINDUNG 24 Jam, turut menjadi antara pengisian.
Festival itu juga menampilkan sesi bersama selebriti dan pempengaruh termasuk Kamal Adli, Elly Mazlein, Amyza Adnan, Zila Bakarin, Maria Tunku Sabri, Sathiya Kandi, Syazwan Syahmi dan Marc Saddique menerusi Meet and Greet, bual bicara, podcast serta program interaktif.
Persembahan artis tempatan turut dijadualkan sepanjang festival, antaranya Andi Bernadee, Azza, Abby Abadi dan Cherpen pada Jumaat, diikuti Kartika dan Sofazr pada Sabtu, manakala Kristal X dan XPDC bakal menutup tirai festival pada Ahad.
Majlis perasmian akan disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, yang turut dijadual melancarkan maskot baharu PERKESO.
PERKESO berkata, Festival Mega iLINDUNGu bukan sekadar menawarkan hiburan, sebaliknya menjadi platform untuk masyarakat mendapatkan maklumat dan perkhidmatan berkaitan perlindungan sosial serta peluang pekerjaan secara langsung. -BH Online
