PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mahu memastikan kesilapan berulang dalam pengurusan sumber manusia sektor awam seperti pelantikan, pemangkuan, kenaikan pangkat, pelarasan gaji, tatatertib serta prestasi perlu dihentikan serta ditangani secara menyeluruh.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata pengurusan sumber manusia membabitkan dimensi besar kerana merangkumi perkhidmatan awam di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam 2026 penting bagi memberi pemahaman lebih jelas dan tepat kepada pengurus sumber manusia mengenai tatacara menguruskan pegawai dalam perkhidmatan awam.
“Kita mengharapkan dengan adanya perkongsian dan platform seperti ini, segala kesilapan yang berlaku sebelum ini dapat kita atasi dan akhirnya menjadi perkara yang difahami secara bersama oleh semua pengurus sumber manusia.
“Apabila kita adakan persidangan ini dan memanggil hampir keseluruhan mereka yang terlibat dalam pengurusan sumber manusia, kita mengharapkan perkara itu dapat dikurangkan ataupun tidak ada lagi kesilapan fatal yang boleh merugikan penjawat awam itu sendiri,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Wan Ahmad Dahlan berkata, keberkesanan sistem pentadbiran perlu dinilai secara jujur, termasuk dengan melihat sama ada kesilapan sama masih terus berulang.
Katanya, pengulangan kesilapan menunjukkan punca sebenar masalah masih belum ditangani secara tuntas.
“Dalam hal ini, kesilapan urusan pelantikan, pemangkuan, kenaikan pangkat, pelarasan gaji, tatatertib mahupun pengurusan prestasi tidak seharusnya dijadikan kebiasaan.
“Kes yang kelihatan kecil pada peringkat proses berupaya memberi impak yang besar kepada pegawai, selain menjejaskan kredibiliti organisasi,” katanya.
Beliau berkata, kesilapan berulang tidak lagi boleh dianggap sebagai kes terpencil, sebaliknya menjadi petunjuk kepada kelemahan sistemik yang perlu ditangani.
Sehubungan itu, katanya, JPA sejak 2024 sudah melaksanakan 61 program khidmat rundingan di peringkat kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) negeri menerusi sesi libat urus, penyelesaian kes secara langsung serta perkongsian dasar terkini.
Wan Ahmad Dahlan berkata, JPA tidak mahu penjawat awam yang sudah lama menabur bakti akhirnya dinafikan kebajikan yang sepatutnya diterima apabila menamatkan perkhidmatan hanya disebabkan kesilapan dalam pengurusan sumber manusia.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap persidangan berkenaan dapat membuahkan tiga anjakan strategik yang perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan bagi memastikan pengurusan sumber manusia sektor awam lebih berkesan dan berimpak.
Katanya, tiga anjakan berkenaan ialah melaksanakan perkara yang sudah diketahui, mengutamakan pencegahan secara tuntas berbanding membetulkan masalah secara berulang serta menyelesaikan isu secara kolaboratif dan bukan bekerja secara silo.
“Sekiranya ketiga-tiga anjakan berkenaan berjaya diterjemahkan dalam bentuk tindakan, matlamat penganjuran persidangan ini dianggap telah tercapai,” katanya.
Pada persidangan itu, Wan Ahmad Dahlan turut melancarkan buku Institusi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Alaf Baharu, yang mendokumentasikan perkembangan, peranan dan sumbangan Institusi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
Ia merangkumi strategi, pembaharuan dan inisiatif KPPA dari 2000 hingga 2025 dalam membentuk perkhidmatan awam Malaysia alaf baharu.
Persidangan bertemakan Memacu Prestasi, Merealisasi Reformasi itu dihadiri lebih 1,000 penggerak utama sumber manusia daripada kementerian, jabatan, agensi setiausaha kerajaan negeri, badan berkanun dan PBT. -BH Online
