MESKIPUN kadar inflasi semakin mereda, kerajaan tetap meneruskan program-program intervensi melalui inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan beliau, pagi tadi.
“Meskipun kadar inflasi dalam negara telah mereda kepada 2.0% iaitu kadar terendah dalam tempoh hampir dua tahun, Kerajaan Perpaduan kekal komited untuk meneruskan program-program intervensi melalui inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani.
“Inisiatif ini diteruskan dengan kerjasama Kerajaan Negeri yang akan memanfaatkan rakyat dalam usaha berterusan Kerajaan Perpaduan menangani isu kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, Anwar berkata, kerajaan telah mengarahkan agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk lebih proaktif bagi bertindak sebagai agensi pengedar Beras Putih Tempatan (BPT) terutama di kawasan pedalaman.
“Ia sebagai usaha mengurangi kesulitan kepada rakyat dalam mendapatkan bekalan beras susulan langkah intervensi yang telah diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semalam,” katanya.
Se mentara itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat juga mendapat penjelasan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa bank utama dan penyedia perkhidmatan e-dompet yang menerima pembayaran melalui DuitNow QR telah mengumumkan bahawa mereka akan terus mengecualikan fi transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil.
“Selain itu, Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) juga akan memperuntukkan sumber bagi membantu membiayai kos yang ditanggung oleh penyedia perkhidmatan pembayaran terutamanya penyedia bukan bank yang terus menawarkan pengecualian penuh kepada perniagaan mikro dan kecil,” katanya. -Media Perpaduan