Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PENGUNDI di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai diingatkan untuk berfikir dua kali sebelum memberikan undi kepada calon PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 7 Oktober ini.

Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan berkata, PAS biar pun dikenali sebagai parti yang membawa imej Islam dan terdapat sebilangan ulama dalam barisan kepimpinannya namun parti itu sejak kebelakangan ini sering kali terlibat dalam penyebaran fitnah.

Tegasnya, dalam ajaran Islam konsep memilih imam bagi mengetuai solat perlu dipastikan individu yang tidak melakukan dosa besar mahu pun berterusan melakukan dosa-dosa kecil.

“Kalau dari segi imam sebaiknya elakkan (lantik) orang yang terlibat dengan dosa besar ataupun berterusan melakukan dosa-dosa kecil.

“Jadi saya rasa rakyat boleh menilai adab dan akhlak pimpinan Pas yang ketara meninggalkan adab serta akhlak Islam,” katanya dipetik Suara Keadilan.

Amidi berkata demikian mengulas mengenai pemimpin PAS pernah menuduh aset Tabung Haji (TH) telah dijual kepada orang Cina pada tahun 2019 lalu.

“Namun apabila dibuktikan aset tersebut kekal di tangan Kementerian Kewangan dan bakal diserahkan kembali kepada TH pada 2023, tiada seorang pun pemimpin PAS yang menarik balik tuduhan yang telah dibuat,” bidasnya.

Justeru, Amidi menyifatkan sikap PAS yang terus menerus membuat tohmahan tanpa asas itu adalah jauh daripada adab serta tuntutan Islam.

Beliau yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, untuk memilih pemimpin perlu ditekankan kepentingan pemimpin yang mempunyai budi pekerti mulia.

Tegasnya, tuntutan akhlak yang baik adalah sifat Nabi s.a.w yang sepatutnya ada pada setiap pemimpin yang perlu diutamakan oleh rakyat untuk dipilih.

“Nak tak nak kita kena memilih orang uswatul hasanah (pemimpin yang mempunyai tauladan baik) sebab sifat Nabi bukan sahaja al-amin (jujur dalam berkata-kata) tetapi pada budi pekerti dan tindakannya,” katanya. -Media Perpaduan