KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor tenaga menerusi pemeteraian kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dan perjanjian jualan gas (GSA) baharu bagi Blok A-18-01 di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA), sempena Gastech 2026 di Bangkok.
Kementerian Ekonomi dalam satu kenyataan berkata, perjanjian baharu itu memastikan kesinambungan pembangunan blok berkenaan, selain memperkukuh keyakinan pelabur dan menyokong keselamatan tenaga kedua-dua negara.
Katanya, PSC Blok A-18-01 dimeterai antara Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (MTJA), PC JDA Limited dan PTTEP JDX, manakala GSA turut membabitkan PETRONAS dan PTT Public Company Ltd.
Majlis pemeteraian itu disaksikan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul; Menteri Tenaga Thailand, Akanat Promphan dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Akmal Nasrullah berkata, perkembangan itu hadir pada waktu penting ketika gas asli terus memainkan peranan utama dalam sistem tenaga dan pertumbuhan sosioekonomi Malaysia.
Katanya, gas asli diunjurkan menyumbang 56 peratus daripada jumlah bekalan tenaga primer (TPES) Malaysia menjelang 2050.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan pembangunan sumber tenaga terus menarik pelaburan serta disokong keupayaan industri yang mampu mewujudkan nilai secara berterusan.
“Kepastian, kesinambungan dan keyakinan adalah penting untuk membuka pelaburan, mengekalkan pengeluaran dan menjamin nilai jangka panjang,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, kemajuan dicapai menerusi Blok A-18-01 turut menyediakan asas kukuh kepada pembangunan berterusan MTJDA.
Katanya, momentum itu seharusnya membuka laluan kepada fasa seterusnya bagi pembangunan PSC dan GSA baharu untuk Blok B-17-01, sekali gus membolehkan potensi MTJDA dimanfaatkan bagi kepentingan kedua-dua negara.
MTJDA mencerminkan kerjasama hampir lima dekad antara Malaysia dan Thailand yang dibina berasaskan kepercayaan, sikap saling menghormati serta kepentingan bersama.
Bagi meneruskan pembangunan Blok A-18-01, Malaysia turut mengharapkan rakan industri dan kontraktor menyediakan modal, teknologi, kepakaran serta komitmen jangka panjang untuk membangunkan sumber itu secara berdaya maju dan bertanggungjawab.
Menteri Tenaga Thailand pula menyifatkan MTJDA sebagai model kerjasama dua hala yang berjaya, dengan PSC dan GSA baharu berpotensi merangsang pelaburan, menyokong pembangunan mampan dan menyumbang kepada kemakmuran bersama.
Dalam konteks serantau, Malaysia berpandangan bahawa kerjasama rentas sempadan akan menjadi semakin penting seiring peningkatan keperluan tenaga ASEAN.
Dalam persekitaran tenaga yang semakin kompleks, tiada negara boleh menjamin masa depan tenaganya secara bersendirian. Malaysia akan terus bekerjasama dengan Thailand dan rakan ASEAN untuk membina ekosistem tenaga serantau yang selamat, berdaya tahan, berdaya saing dan mampan.
Malaysia kekal komited untuk memajukan kerjasama tenaga serantau yang menyokong keselamatan tenaga, daya tahan ekonomi dan kemakmuran bersama. -BH Online
