PELUANG melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terhidang kepada generasi ketiga hingga kelima warga Felda untuk apabila 50,000 tempat tersedia untuk dipenuhi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat 1,334 institusi TVET seluruh negara melibatkan 12 kementerian yang mempunyai kursus sesuai untuk memenuhi kehendak tenaga kerja semasa.
“Kursus-kursus yang akan disediakan ialah kursus yang dapat disesuaikan dengan kerja guna tenaga di negara kita.
“Saya telah bincang dengan Pengerusi Mara untuk melaksanakan program-program baharu untuk disesuaikan dengan kehendak semasa demi menyediakan peluang pekerjaan yang begitu banyak,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian selepas majlis Perasmian Karnival Kerjaya Myfuture Jobs Bersama Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (Hawa) Malaysia di Felda Chemomoi, dekat Bentong, hari ini.
Lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan untuk penduduk Felda Chemomoi dan sekitar tanah rancangan itu sempena penganjuran Karnival Kerjaya MYFuture Jobs “Perkasa Wanita & Keluarga”.
Karnival yang berlangsung selama sehari di Dataran Ilmu Felda Chemomoi menyaksikan penyertaan 18 majikan yang menawarkan pelbagai tawaran kerjaya, selain dimeriahkan dengan pelbagai pengisian program antaranya pertandingan e- sport, pemeriksaan saringan kesihatan, pendaftaran kaunter skim suri rumah.
Ahmad Zahid berkata, inisiatif tersebut wajar dimanfaatkan oleh generasi Felda bagi mengikuti kursus yang disediakan mengikut keperluan pasaran pada masa akan datang. –Media Perpaduan