KUALA LUMPUR: Klang, Selangor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di negara ini setakat 4 petang apabila meningkat kepada 115, sekali gus kekal dalam kategori tidak sihat.
Peningkatan tujuh mata berbanding bacaan pada tengah hari menyaksikan Klang mengatasi Pasir Gudang, Johor sebagai lokasi dengan bacaan IPU tertinggi di negara ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pasir Gudang pula mencatatkan penurunan bacaan kepada 106 berbanding 110 pada tengah hari.
Klang dan Pasir Gudang kekal sebagai dua lokasi sahaja di Malaysia yang mencatatkan bacaan IPU dalam kategori tidak sihat.
Sementara itu, bilangan stesen yang merekodkan kualiti udara dalam kategori baik meningkat kepada 39.
Antara stesen yang kembali berada dalam kategori baik ialah Kulim Hi-Tech, Kedah dengan bacaan 50, Segamat, Johor (49), Samarahan, Sarawak (48) serta Kuala Selangor, Selangor (46).
Bagi kategori sederhana, Johan Setia di Selangor merekodkan bacaan tertinggi iaitu 84, diikuti Seberang Perai, Pulau Pinang dan Petaling Jaya, Selangor yang masing-masing mencatatkan bacaan 82.
Jerantut, Pahang dan Limbang, Sarawak merekodkan bacaan IPU terendah di negara ini pada paras 15, diikuti Mukah, Sarawak serta Kimanis, Sabah yang masing-masing mencatatkan bacaan 17.
Mengikut klasifikasi JAS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya. -Astro Awani
