DOHA: Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, dijadualkan menyertai dua forum peringkat menteri, hari ini, yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dalam pembangunan dan masa depan ekosistem digital.
Kedua-dua program itu ialah ‘Ministerial Panel’ sempena Mobile World Congress (MWC) Doha 2026: Digital Leadership Forum dan Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU PP-26) Ministerial Roundtable yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Doha (DECC).
Penyertaan Fahmi dalam kedua-dua platform itu adalah antara pengisian utama lawatan kerja beliau ke Doha, selain mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26.
Menurut jadual rasmi delegasi Malaysia, Fahmi dijadualkan menghadiri majlis sambutan MWC Doha 2026 sebelum menyertai sesi panel peringkat menteri bertajuk ‘Accelerating Cooperation for a Connected Digital Future’.
Sesi itu menyediakan platform perbincangan mengenai kepentingan kerjasama dalam membentuk masa depan digital yang lebih saling berhubung.
Pada sebelah petang, Fahmi dijadualkan menyertai PP-26 Doha Ministerial Roundtable yang merangkumi ucapan pembukaan, pembentangan meja bulat peringkat menteri dan sesi perbincangan.
Program itu turut dijadual menyaksikan pelancaran Doha Ministerial Declaration yang menjadi antara agenda utama pertemuan berkenaan.
Selain itu, Fahmi dijadual mengadakan lawatan ke reruai beberapa syarikat teknologi dan telekomunikasi antarabangsa termasuk Huawei, Ericsson, Ooredoo, Nokia dan VEON di DECC.
Pada sebelah malam pula, beliau dijadualkan menghadiri majlis makan malam anjuran Persatuan Sistem Komunikasi Mudah Alih Global (GSMA) sempena MWC Doha.
Lawatan kerja Fahmi ke Doha turut membawa misi penting Malaysia untuk mempertahankan kerusi Ahli Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.
ITU PP-26 yang berlangsung di Doha merupakan persidangan tertinggi ITU yang diadakan setiap empat tahun bagi menentukan hala tuju, dasar dan pelan strategik organisasi itu.
Malaysia yang menjadi anggota ITU sejak 3 Februari 1958, berjaya dipilih sebagai Ahli Majlis ITU bagi penggal 2023-2026 pada persidangan PP-22 di Bucharest, Romania.-BH Online
