ISTANBUL: Kerajaan akan membincangkan sasaran Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8) untuk meningkatkan perdagangan sesama negara anggota kepada lebih AS$500 bilion menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum mengemukakannya pada mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sasaran itu berpotensi dicapai menerusi beberapa langkah proaktif.
“Kita melihat perdagangan sesama negara anggota atau perdagangan intra-D8 meningkat kepada lebih AS$500 bilion menjelang 2030.
“Saya sudah membincangkan perkara itu secara mendalam pada pertemuan dengan Setiausaha Agung D-8, Sohail Mahmood dan akan mengemukakannya kepada Perdana Menteri dan Menteri Luar,” katanya pada sidang media selepas menamatkan lawatan kerja empat hari ke Istanbul bagi menghadiri Forum TRT World 2026, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.
D-8 dianggotai Azerbaijan, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Türkiye. Azerbaijan menyertai pertubuhan itu pada 2025.
Pertubuhan D-8 secara rasmi diumumkan menerusi Deklarasi Istanbul pada Sidang Kemuncak Ketua Negara dan Kerajaan pada 15 Jun 1997.
Mengulas perdagangan dua hala Malaysia-Türkiye, Ahmad Zahid berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengenai langkah menangani kebimbangan Ankara berhubung lebihan dagangan Malaysia dengan negara itu.
Katanya, pihak Türkiye sebelum ini membangkitkan isu ketidakseimbangan perdagangan dua hala yang memihak kepada Malaysia, sekali gus memberi lebihan dagangan kepada negara ini.
“Sehubungan itu, mereka meminta Malaysia meneroka peluang untuk meningkatkan import barangan dan produk dari Türkiye.
“Saya akan membincangkan perkara ini dengan Johari bagi mencari kaedah paling berkesan bagi menangani ketidakseimbangan perdagangan berkenaan,” katanya. -BH Online

