KULAI: Rakyat perlu meningkatkan tahap celik digital sebagai benteng utama dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks, termasuk penipuan dalam talian, penyebaran perisian hasad dan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kesedaran dan keupayaan pengguna mengenal pasti ancaman digital amat penting memandangkan kerajaan atau pihak berkuasa tidak mampu menyaring setiap mesej dihantar menerusi aplikasi komunikasi seperti WhatsApp.
Beliau berkata perkembangan teknologi turut membuka ruang kepada penjenayah siber menggunakan pelbagai modus operandi baharu untuk memperdaya pengguna, termasuk menyebarkan perisian hasad melalui fail yang kelihatan seolah-olah dihantar individu dikenali.
“Sebagai contoh, sekarang ada perisian hasad yang disebarkan secara berleluasa menerusi fail ZIP. Mungkin anda menerima fail itu daripada rakan melalui WhatsApp dan diminta membukanya menggunakan komputer.
“Apabila fail itu dibuka, data dalam komputer boleh dicuri dan mungkin selepas dua minggu, akaun WhatsApp anda pula digodam sebelum fail sama dihantar kepada semua kenalan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini baru-baru ini.
Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata situasi itu memperlihatkan cabaran besar dalam usaha membendung jenayah siber kerana kerajaan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada mekanisme pemantauan atau penguatkuasaan.
“Kita tidak mungkin boleh meminta MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) menyaring setiap mesej WhatsApp sebelum dihantar untuk memastikan ia bukan perisian hasad, mesej penipuan atau mengandungi maklumat tidak benar,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan statistik aduan penipuan dalam talian, penipuan e-dagang merupakan kategori yang mencatatkan jumlah aduan tertinggi, manakala penipuan pelaburan menyebabkan nilai kerugian paling besar kepada mangsa.
Sehubungan dengan itu, Teo mengingatkan pengguna supaya sentiasa berwaspada terhadap kandungan atau pautan mencurigakan, selain membudayakan amalan menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya kepada pihak lain.
Beliau turut mengulangi saranan agar syarikat dan organisasi memberikan perhatian serius terhadap keselamatan siber dengan melaksanakan audit keselamatan secara berkala, khususnya apabila menaik taraf sistem atau menggunakan teknologi baharu.
“Saya rasa selama ini mungkin kita tidak sedar betapa pentingnya untuk melaksanakan audit keselamatan siber. Sudah sampai masanya individu ataupun syarikat memastikan pelaburan mencukupi turut dibuat untuk menjaga keselamatan siber,” katanya.
Teo berkata aspek keselamatan siber negara berada di bawah tanggungjawab Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), manakala MCMC sentiasa bersedia memberikan bantuan serta sokongan teknikal sekiranya diperlukan.– BERNAMA
