Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PROJEK saliran sawah padi yang terbengkalai selain tiada perancangan jelas untuk memastikan negara mencapai tahap sara diri beras (SSL) dikenal pasti antara punca Malaysia kekal berada pada tahap 65 peratus SSL sejak berpuluh tahun lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan tidak akan berkompromi dengan ‘projek sakit’ yang memberi masalah kepada negara.

“Saya melawat sebuah projek saliran sawah padi yang sepatutnya sudah siap, akhirnya terbengkalai dan menyusahkan para pesawah.

“Banyak lagi projek sakit sebegini yang telah merugikan jutaan wang rakyat. Akhirnya Kerajaan perlu mengeluarkan belanja untuk menyiapkan projek-projek sakit ini

“Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal menyiapkan mana-mana projek di bawah KPKM seperti yang telah dijadualkan,” katanya ketika ditemui media dalam lawatannya ke kawasan penanaman padi di Sungai Manik, Perak, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau akan mengambil tindakan tegas terhadap semua projek sakit dan mahu laporan perkembangan projek diberikan pada setiap minggu sehingga selesai.

“Untuk projek sakit di Sungai Manik ini dan juga di tempat lain, saya telah mengarahkan laporan perkembangan pemulihan projek dilaporkan setiap minggu kepada saya dalam mesyuarat mingguan pasca kabinet,” katanya. -Media Perpaduan