Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PEMBERIAN khas sebanyak RM300 juta setahun masing-masing kepada Sabah dan Sarawak akan dibayar selepas diwartakan berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah pemberian khas diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim awal tahun ini dikekalkan sehingga formula baharu mengenainya dimuktamadkan.

Menurutnya, formula pemberian khas itu juga sudah dibentangkan, namun sehingga kini belum ada kata putus dicapai.

“Pemberian khas RM300 juta setahun kepada Sarawak memang sudah diumumkan, namun ia tertakluk kepada pewartaan kerana pembayaran hanya akan dibuat selepas ia diwartakan.

“Jumlah itu kekal (RM300 juta) sehingga formula pemberian khas yang sudah dibentangkan sebelum ini dimuktamadkan,” katanya selepas majlis perasmian Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Kota Samarahan, hari ini, lapor BH.

Fadillah berkata, pemberian itu tidak perlu dimasukkan di dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan tidak lama lagi kerana ia sudah dipersetujui Kerajaan Persekutuan.

Januari lalu, Fadillah dilaporkan berkata, formula pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak akan terus diperincikan bagi memastikan kaedah pengagihan yang lebih telus dan jelas. -Media Perpaduan