MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh diadakan pada bila-bila masa susulan kejayaan pelaksanaan PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, buat masa ini tiada tarikh yang tepat untuk beliau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tempoh akhir penggal adalah pada 31 Disember depan.
“Tarikhnya (bubar DUN) belum tahu lagi, tetapi kalau tanya saya, kata orang Melaka ‘dua tiga kucing berlari, mana nak sama si kucing belang, BN dah menang dua negeri, takkan Melaka tak ambil peluang,” katanya selepas mengetuai Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ab Rauf yang terkenal dengan penampilan bahasa kiasan, turut memberi bayangan bahawa pembubaran DUN akan diadakan bila tiba waktunya.
“Buah di pokok jangan dijolok, kerana apabila masak ia akan gugur sendiri,” katanya yang bermaksud, sesuatu perkara jangan dipersoalkan berulang kali kerana waktunya akan tiba juga akhirnya.
Beliau juga pernah menyatakan bahawa hasil keputusan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan akan diambil kira sebelum pembubaran DUN Melaka diumumkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara juga menegaskan tidak tertekan dengan desakan pihak tertentu supaya pembubaran DUN diadakan segera.
“Saya mempunyai perkiraan dan aturan tertentu yang perlu diselesaikan mengikut pentadbiran serta urusan kerajaan negeri terlebih dahulu.
“Dalam politik, tiada yang mustahil. Politik adalah seni seribu satu kemungkinan. Apa pun, kita tunggu dan lihat,” katanya. -BH Online

