Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sudah memulakan sesi perbincangan dan konsultasi dengan pelbagai pemegang taruh bagi mengumpul cadangan serta input untuk diserahkan kepada Kementerian Kewangan bagi penyediaan Belanjawan 2027.

Menterinya, Steven Sim, berkata proses libat urus itu yang kini memasuki fasa kitaran rasmi jadual penyediaan bajet melibatkan syarikat usahawan, persatuan peniaga kecil dan koperasi di seluruh negara yang dijangka berlangsung selama satu hingga dua bulan mengikut kitaran penyediaan belanjawan.

“Memang kebiasaan saya adakan sesi perbincangan, konsultasi dengan pemegang taruh. Tidak kiralah pemegang taruh daripada segi syarikat usahawan atau persatuan mewakili peniaga-peniaga kecil, usahawan, koperasi di Malaysia.

.”…dan kita sedang mengumpulkan cadangan-cadangan, idea daripada pemegang-pemegang taruh dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi,” katanya selepas menghadiri Program Jualan MADANI KUSKOP (JMK) 2026 di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dilapor berkata Belanjawan 2027 akan terus berpandukan prinsip pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada pemerkasaan kehidupan rakyat dan bukan setakat diukur berdasarkan petunjuk ekonomi yang kukuh.

Mengenai Program hari ini, beliau berkata ia penganjuran siri keenam di Pulau Pinang yang menawarkan kira-kira 80 jenis barangan keperluan harian pada kadar diskaun antara 20 hingga 30 peratus.

Program itu turut menghimpunkan 13 agensi kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membawa perkhidmatan secara terus kepada penduduk setempat.

“Kerajaan dan agensi tidak boleh hanya menunggu rakyat datang ke pejabat. Masalah rakyat berada di lapangan, kampung dan taman perumahan, sebab itu kita perlu turun ke padang untuk memberi perkhidmatan terus kepada mereka,” katanya.-BH Online