MELAKA: Keprihatinan kerajaan negeri kepada Angkatan Tentera Malaysia dizahirkan menerusi peruntukan khas RM1 juta bagi membaik pulih sistem paip dan jalan rosak di Kem Terendak serta Kem Sungai Udang, di sini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kerajaan negeri mengambil serius keluhan warga Kem Terendak dan Kem Sungai Udang, khususnya berkaitan gangguan bekalan air dan keadaan jalan yang memerlukan tindakan segera.
“Anggota tentera yang bertugas siang dan malam mempertahankan keselamatan negara tidak seharusnya berdepan kesukaran mendapatkan keperluan asas di kawasan penempatan mereka.
“Justeru, hari ini saya ingin mengumumkan kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta bagi melaksanakan segera kerja membaik pulih paip dan beberapa jalan rosak di dua kem tentera iaitu Kem Terendak serta Kem Sungai Udang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Kejohanan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2026 di Dataran Pavilion Kem Terendak, di sini hari ini.
Yang turut hadir, EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Panglima Tentera Darat; Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Sani S Omar.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf berkata, sementara menunggu kerja baik pulih kerosakan paip di kem berkenaan, kerajaan negeri melalui Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) juga bersetuju menyediakan tangki air di kawasan kritikal yang berisiko mengalami gangguan atau ketiadaan bekalan air.-BH Online

