KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan menjalani rawatan susulan bagi merawat masalah musculoskeletal yang melibatkan otot dan tulang di bahagian belakang serta pinggul.
Menerusi satu kenyataan, Istana Negara memaklumkan Baginda dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya meneruskan proses pemulihan melalui rawatan susulan bagi memastikan keadaan kesihatan Baginda terus bertambah baik.
Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong tidak dapat berangkat menyaksikan Perbarisan Sempena Hari Pahlawan 2026 yang berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini.
Istana Negara bagaimanapun tidak memperincikan tempoh rawatan yang akan dijalani Baginda.
Rakyat turut dimohon mendoakan agar Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan serta terus berada dalam keadaan sihat untuk meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Utama Negara. -Astro Awani
