REMBAU: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasar untuk memuktamadkan draf Dasar Kesihatan Mental di Tempat Kerja menjelang September atau Oktober ini selepas proses libat urus dengan kementerian, agensi berkaitan serta pihak berkepentingan selesai.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sesi libat urus itu akan melibatkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Beliau berkata tempoh berkenaan diperlukan bagi memberi ruang kepada KKM membangunkan dasar serta garis panduan yang komprehensif ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, selamat dan harmoni.
“Kita memandang kepada garis masa sekitar September atau Oktober bagi memberi sedikit masa kepada pasukan kita melaksanakan libat urus, seterusnya membangunkan polisi dan garis panduan.
“Ini sangat mustahak kerana cabaran kesihatan mental perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Merdeka Kementerian Kesihatan Peringkat Negeri Sembilan 2026, yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Dr Zuraida Mohamed di Hospital Rembau, di sini, semalam.
Pada 15 Julai lepas, Dzulkefly berkata KKM merancang membangunkan Dasar Kesihatan Mental di Tempat Kerja bagi mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, selamat dan harmoni sejajar dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Mengulas cadangan supaya dasar itu melangkaui penyediaan perkhidmatan kaunseling, Dzulkefly berkata KKM akan memastikan ia turut mengambil kira pelbagai aspek termasuk keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan serta mekanisme sokongan kepada pekerja.
“Dasar itu bertujuan memastikan tempat kerja mempunyai keupayaan menyediakan persekitaran yang menyokong kesejahteraan mental pekerja, sekali gus membantu mengurangkan risiko keletihan melampau (burnout) dan beban kerja berlebihan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata KKM akan terus memperkukuh perkhidmatan hospital di seluruh negara menerusi konsep hospital kluster, yang membolehkan pakar daripada hospital peneraju memberi perkhidmatan kepada hospital bukan pakar.
Beliau berkata pada masa sama, hospital bukan pakar akan dinaik taraf secara berperingkat kepada hospital dengan kepakaran minor mengikut keperluan, permintaan dan kesesuaian.
“Penambahbaikan bukan sekadar menaik taraf kepada hospital pakar minor, tetapi turut memperkasakan disiplin kepakaran termasuk pediatrik, obstetrik dan ginekologi (O&G), oftalmologi serta telinga, hidung dan tekak (ENT),” katanya.
Dzulkefly berkata pendekatan itu tidak semestinya melibatkan pembinaan hospital baharu atau penambahan blok, sebaliknya turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kapasiti perkhidmatan kepakaran serta memperkukuh sistem penjagaan kesihatan primer.– BERNAMA
