Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PARTI Amanah akan menggerakkan jentera untuk memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 7 Oktober ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah telah membincangkan penyelarasan gerak kerja untuk membantu calon BN Datuk Amizar Abu Adam mencapai kemenangan pada PRK Pelangai.

“Saya mengarahkan semua ahli mesyuarat untuk menggerakkan jentera Amanah dari seluruh negara untuk memastikan DUN Pelangai dipertahankan oleh BN.

“BN telah membuktikan setiakawan di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang telah berjaya dimenangi oleh calon-calon dari Amanah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam perkembangan berkaitan, Amizar menggariskan strategi 3P iaitu pendapatan, perumahan dan penyediaan infrastruktur dalam usaha untuk memperkasa golongan belia.

Menurutnya, aspek pendapatan dan pekerjaan sedia ada perlu ditambah nilai sekali gus mewujudkan janaan ekonomi baharu di DUN berkenaan.

Amizar berdepan saingan tiga penjuru akan menentang Kasim Samat mewakili Perikatan Nasional (PN) dan seorang calon Bebas, Haslihelmy DM Zul Hasli.

PRK Pelangai diadakan selepas kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun daripada BN meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor, bulan lalu. -Media Perpaduan