KUANTAN: Kerajaan Pahang mengesan sindiket penipuan urusan permohonan tanah di daerah Bentong membabitkan tanah milik kerajaan negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata sindiket itu menawarkan urusan pemberi milikan tanah dengan meminta orang ramai membuat bayaran serta menandatangani dokumen sebelum proses pemberi milikan dilakukan.
“Saya ingin menegaskan kerajaan negeri tiada melantik mana-mana individu, ejen ataupun syarikat untuk menjalankan urusan pemberimilikan tanah kerajaan negeri di luar prosedur yang ditetapkan undang-undang.
“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan memperdaya rakyat atau menyalahgunakan nama kerajaan Pahang dan tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap pihak yang terbabit,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sehubungan itu, Wan Rosdy menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang bayaran, menandatangani dokumen atau melakukan apa-apa urusan berkaitan tanah tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang atau Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan.
Katanya, orang ramai merasakan dirinya tertipu diminta membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
“Kerajaan Pahang kekal komited memastikan setiap urusan pentadbiran tanah dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi undang-undang.
“Semak dahulu, jangan mudah percaya dan jangan sesekali menjadi mangsa penipuan,” katanya -BH Online
