Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Transformasi pasar dan tandas awam seperti penambahbaikan infrastruktur serta pengurusan penyelenggaraan, mampu meningkatkan keyakinan pengguna terhadap tahap kebersihan dan keselamatan premis.

Usaha itu bukan sekadar mencerminkan kecekapan pengurusan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada agenda membentuk amalan menjaga kebersihan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata sebanyak RM378.27 juta diluluskan di bawah peruntukan Skala Kecil, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), membabitkan 2,253 projek menaik taraf pasar dan tandas awam di seluruh negara sejak tahun 2023 hingga kini.

Daripada jumlah itu, 1,750 projek menaik taraf tandas awam dengan kos RM172.13 juta, manakala 503 projek lagi menaik taraf pasar awam berjumlah RM206.14 juta.

“Bagi tempoh itu juga, Kementerian Ekonomi meluluskan 18 projek pasar dengan kos keseluruhan sebanyak RM236.60 juta.

“Antara projek itu ialah pembangunan semula Pasar Awam Bukit Mertajam di Pulau Pinang, membina baru Pasar Pasir Pinji, Ipoh (Perak), pembinaan Pasar Kajang (Selangor) dan pembangunan Pasar Besar Kuala Krai (Kelantan),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata enam negeri tertinggi yang merekodkan kerja-kerja naik taraf bagi pasar dan tandas awam ialah Sabah, Perak, Pahang, Selangor, Johor dan Sarawak.

“Usaha memperkasakan pasar awam di seluruh negara dapat mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih bersih, selamat, selesa dan kondusif kepada peniaga serta pengunjung.

“Malah, menaik taraf tandas awam berteraskan konsep Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) pula, diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembudayaan kebersihan dalam kalangan masyarakat serta meningkatkan kualiti kemudahan awam di seluruh negara,” katanya.

Kor Ming berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut memperuntukkan sebanyak RM60 juta bagi menaik taraf Gerai MADANI dan pasar awam uzur di bawah Inisiatif Belanjawan 2026, dengan 30 projek telah disasarkan untuk dinaik taraf pada tahun ini.

“Inisiatif ini bertujuan mewujudkan pasar awam yang lebih bersih, selamat, teratur, selesa dan menarik. Sasaran ini akan diteruskan sehingga tahun 2030, tertakluk kepada peruntukan daripada Kementerian Ekonomi,” katanya.

Kor Ming berkata sebanyak RM30 juta turut diperuntukkan dengan sasaran 50 tandas awam untuk dinaik taraf di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Inisiatif ini juga diharap dapat diteruskan sehingga tahun 2030, bagi memperluaskan pelaksanaan tandas awam bertaraf BMW sebagai penanda aras baharu kemudahan awam negara, sekali gus meningkatkan kualiti pengurusan tandas awam serta memperkukuh imej Malaysia yang bersih, berdaya huni dan mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa pasar dan tandas awam yang sudah dinaik taraf di Selangor, Kelantan dan Terengganu mendapati, infrastruktur dan tahap kebersihan di kawasan terbabit masih lagi berada dalam keadaan terjaga, bersih dan selesa.

Peniaga pakaian Faisal Abas, 50, berkata kemudahan infrastruktur di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu sudah banyak berubah selepas kerja-kerja naik taraf dilakukan seperti pembaikan tandas awam, kemasan cat bangunan serta penambahbaikan struktur dalaman.

“Saya berasa sungguh gembira dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan, kerana begitu cakna dengan keadaan di pasar ini. Kalau dulu bangunan ini nampak suram, tapi sekarang sudah ceria serta menarik dan pastinya pengunjung rasa selesa,” katanya.

Bagi Nur Alia Zainal Abidin, 21, yang berniaga buah-buahan di Pasar Borong Mentara, Machang pula berharap usaha yang dilakukan kerajaan, akan diteruskan pada masa akan datang dan lebih banyak lagi pasar dan tandas awam di negara ini dinaik taraf.

Pengunjung yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) Salamiah Mokthar, 44, berkata kemudahan yang lebih selesa dan bersih, dapat memudahkan urusan harian serta memberi keyakinan kepada golongan sepertinya, untuk mengunjungi pasar awam tanpa berdepan pelbagai kesukaran seperti sebelum ini.

“Jika dulu banyak juga pasar atau tandas awam yang tidak mesra OKU seperti laluan sempit serta sukar untuk masuk. Alhamdulillah, sekarang ini sudah banyak kemudahan untuk golongan seperti kami dan saya rasa lebih selamat dan selesa untuk datang membeli-belah,” katanya. – BERNAMA