PAPAR: Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bernilai RM70.6 juta dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas, selain meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar yang kini berkembang pesat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) itu akan dipantau secara rapi oleh Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta JKR Sabah bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau berkata, projek berkenaan bermula pada Mac lalu dan dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun.
“Kita akan memantau pelaksanaannya dengan rapi kerana ia amat penting kepada penduduk di kawasan ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut, di sini, semalam.
Majlis pecah tanah itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Alexander berkata, projek berkenaan meliputi keseluruhan jajaran sepanjang 1.5 kilometer, termasuk menaik taraf jalan sedia ada daripada dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong dua hala mengikut piawaian JKR U5.
Beliau berkata, daripada keseluruhan kos RM70.6 juta, sebanyak RM48 juta diperuntukkan bagi kerja pembinaan, RM17 juta untuk pengambilan tanah dan pampasan kepada pemilik premis yang terjejas, manakala kira-kira RM960,000 lagi bagi urusan pengambilan tanah.
Katanya, sebanyak 81 lot tanah dan premis terbabit dalam proses pengambilan tanah.
“Pampasan yang dibayar bukan hanya membabitkan tanah, malah struktur bangunan, sebab itu kosnya agak tinggi.
“Kita mahu memastikan pemilik yang terjejas menerima pampasan sewajarnya tanpa mengalami kerugian,” katanya.
Alexander berkata projek itu dilaksanakan berikutan jumlah trafik harian di laluan berkenaan kini mencecah kira-kira 27,000 kenderaan sehari, sekali gus menyebabkan tahap perkhidmatan jalan berada pada Tahap F, iaitu tahap paling kritikal.
Selain menaik taraf jalan dan tiga persimpangan bulatan kepada persimpangan berlampu isyarat, beliau berkata projek itu turut merangkumi pembinaan jejantas pejalan kaki lengkap dengan laluan berbumbung ke sekolah, tiga hentian bas, dua perlindungan motosikal, pemasangan lampu jalan, lampu isyarat serta sistem perparitan baharu. -BH Online
