Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Malaysia perlu memiliki satu sistem pengurusan bencana udara yang menyelaraskan semua agensi di bawah satu sistem, satu arahan dan satu tindakan bagi mengelakkan kekeliruan serta kelewatan yang boleh mengorbankan nyawa ketika berdepan kecemasan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendekatan itu penting bagi mengelakkan kekeliruan, kelewatan dan budaya bekerja secara berasingan kerana setiap saat amat kritikal untuk menyelamatkan nyawa.

“Kita tidak boleh menunggu sehingga krisis sebenar berlaku untuk mengetahui sama ada arahan kita jelas, komunikasi kita berkesan dan semua agensi mampu bergerak dalam satu rentak.

“Sistem yang baik bukan sistem yang hanya lengkap di atas kertas, sistem yang baik ialah sistem yang mampu berfungsi ketika tekanan memuncak, maklumat berubah dengan pantas dan keputusan perlu dibuat dalam tempoh yang sangat singkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026: Bengkel Pengurusan Bencana Udara di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dalam mengurus bencana udara, semua agensi tidak boleh bergerak secara berasingan, sebaliknya bertindak dalam satu pasukan dengan satu matlamat yang jelas, iaitu menyelamatkan nyawa dan mengawal keadaan secepat mungkin.

“Bagi saya, kekuatan sebenar bukan terletak pada berapa banyak aset atau anggota yang kita miliki, kekuatan sebenar terletak pada sejauh mana semua aset, kepakaran dan kuasa itu dapat digerakkan dalam satu arah.

“Prinsip kita mesti jelas, satu sistem, satu arahan dan satu tindakan kerana sebagai pasukan bencana nasional kita mesti menyatukan semua kekuatan di bawah satu tujuan yang lebih besar daripada kepentingan organisasi masing-masing. Ini sistem yang kita mahu bina,” katanya.

Beliau berkata, keselamatan penerbangan tidak boleh dilihat sebagai isu teknikal atau operasi semata-mata, sebaliknya ia adalah satu kepentingan strategik negara.

Katanya, sektor penerbangan menghubungkan manusia, menggerakkan perdagangan, membawa masuk pelaburan dan membuka pintu negara kepada dunia.

“Pada 2025 sahaja, sebanyak 104.4 juta pergerakan penumpang direkodkan di 39 lapangan terbang di bawah Malaysia Airports dan daripada jumlah itu, KLIA sahaja mengendalikan lebih 63.3 juta penumpang.

“Malah, pada kemuncak musim perayaan, lebih sejuta penumpang dikendalikan dalam tempoh tiga hari berturut-turut,” katanya.

Beliau berkata dalam keadaan trafik yang begitu padat, satu gangguan kecil boleh menjadi krisis besar sekiranya tidak ditangani dengan segera.

“Keselamatan penerbangan juga berkait rapat dengan kekuatan ekonomi negara. Pada tahun 2025, Malaysia menerima 42.2 juta pelancong antarabangsa dengan hasil sebanyak RM110.6 bilion, manakala perbelanjaan pelancongan domestik pula mencecah RM121.3 bilion.

“Angka ini menunjukkan betapa besar sumbangan sektor pelancongan kepada negara. Namun, sektor ini hanya dapat terus berkembang apabila pelancong mempunyai keyakinan bahawa perjalanan mereka ke Malaysia adalah selamat dan negara kita mempunyai sistem yang cekap untuk mengurus sebarang kecemasan,” katanya.

Justeru, pelaburan dalam kesiapsiagaan bencana mesti dilihat sebagai satu pelaburan untuk melindungi nyawa, mempertahankan keyakinan dunia terhadap Malaysia dan memastikan setiap sektor dapat terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.-BH Online