PASIR MAS: Kelantan berpotensi untuk meningkatkan lagi kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) terutamanya solar untuk tujuan penjanaan elektrik, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Berucap pada Majlis Pelancaran Projek Solar Berskala Besar LSS5 di Kampung Serongga dekat sini hari ini, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata dengan keluasan tanah yang sesuai, sokongan kerajaan negeri dan penyertaan sektor swasta, negeri ini mampu memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda peralihan tenaga negara.
“Selain menyumbang kepada bekalan elektrik negara, projek ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang ekonomi setempat, meningkatkan pembangunan industri sokongan serta memberi limpahan manfaat kepada komuniti di Pasir Mas dan Kelantan secara keseluruhannya.
“Malah, projek ini juga menjadi bukti bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta mampu menghasilkan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Fadillah berkata, Malaysia menetapkan sasaran untuk meningkatkan kapasiti TBB kepada 35 peratus pada 2030 dan 70 peratus pada 2050.
Beliau berkata, sehingga Jun tahun ini, jumlah kapasiti terpasang TBB di negara ini hampir mencapai 32 peratus.
Menurutnya, kerajaan akan terus komited untuk memastikan peralihan tenaga negara dilaksanakan secara seimbang berdasarkan prinsip keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Ia termasuklah memperkukuh akses kepada bekalan elektrik hijau yang berdaya saing bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara serta menarik pelaburan berkualiti tinggi. Melalui NETR, Kerajaan menggariskan hala tuju yang jelas bagi mentransformasikan sektor tenaga negara.
“Peralihan tenaga bukan satu pilihan, tetapi satu keperluan strategik bagi menjamin keselamatan tenaga negara, memperkukuh daya tahan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memenuhi komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim global,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nassuruddin, berkata projek LSS5 yang dilancarkan di Kampung Serongga itu dijangka menjadi penanda aras pembangunan TBB di Kelantan, sekali gus menjadi pemangkin kepada kemasukan lebih banyak pelabur pada masa hadapan.
Beliau berkata, kejayaan projek itu akan memperkukuh kedudukan negeri berkenaan sebagai destinasi pelaburan berasaskan kelestarian, inovasi dan teknologi hijau.
“Kerajaan negeri akan terus komited menyediakan ekosistem pelaburan yang kondusif, telus dan mesra pelabur selaras dengan aspirasi menjadikan Kelantan sebuah negeri yang berdaya saing serta mampu menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi,” katanya. -BH Online
