Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Semua syarikat telekomunikasi digesa untuk meneliti semula sistem keselamatan masing-masing dan mengenalpasti punca sebenar di sebalik dakwaan kebocoran data pengguna yang dipercayai membabitkan pihak dalaman.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata mereka perlu mengambil langkah segera untuk mengatasi sebarang kelemahan dikesan, termasuk mengehadkan akses kepada `Personally Identifiable Information’ (PII).

“Akses kepada maklumat sensitif berkenaan hanya wajar diberikan kepada pegawai yang benar-benar dipertanggungjawabkan bagi mengelakkan daripada salah guna.

“Sekiranya ada kelemahan, maka perlu diatasi segera dan hadkan akses kepada PII kepada orang yang benar-benar boleh mengendalikan, bukan orang biasa,” katanya selepas melakukan lawatan ke Gerai MPS Stadium Paroi, di sini, hari ini.

Terdahulu, terdapat laporan wujud kebocoran maklumat peribadi membabitkan pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming, susulan kebimbangan wujud akses tanpa kebenaran terhadap sistem dalaman sebuah syarikat telekomunikasi.

Khairul Aming mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan bil telefon peribadinya boleh diketahui pihak lain sehingga didedahkan secara terbuka di media sosial.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, syarikat telekomunikasi perlu memberi jaminan bahawa kebocoran data tidak berlaku apabila maklumat peribadi diakses.

“Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung isu berkenaan.

“Syarikat telekomunikasi berkenaan perlu memberikan kerjasama penuh dan menyediakan segala maklumat yang diperlukan bagi membolehkan pihak berkuasa melengkapkan siasatan.

“Sekiranya syarikat telekomunikasi berkenaan gagal memberikan maklumat atau mematuhi piawaian, tindakan tegas boleh diambil terhadap syarikat berkenaan,” katanya. -BH Online