Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan sekurang-kurangnya lima juta belia mempunyai tahap kesedaran dan kepekaan terhadap isu buli menerusi Kempen Anti-Buli Peka Rasa: Henti Buli, Mula Peduli.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, sasaran itu penting bagi membentuk generasi muda yang bukan sahaja menolak budaya buli, malah berani bertindak dan membantu mangsa yang berdepan isu berkenaan.

Menurut beliau, kempen berkenaan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kesedaran, kefahaman serta keprihatinan belia terhadap kesan buli terhadap kesejahteraan individu dan masyarakat.

“Kita menyasarkan lima juta belia untuk bersama-sama dalam kempen antibuli ini. Bukan bermakna lima juta belia yang dibuli, tetapi lima juta belia yang mempunyai rasa peka dan cakna terhadap isu buli.

“Apabila lebih ramai anak muda memahami kesan buli dan berani mengambil tindakan, kita dapat membentuk masyarakat yang lebih selamat, inklusif dan saling menghormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Anti-Buli Peka Rasa: Henti Buli, Mula Peduli di Putrajaya, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Mohammed Taufiq berkata, kempen itu akan dilaksanakan secara menyeluruh menerusi program jelajah ke sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelbagai program belia di bawah KBS.

Katanya, pendekatan bersemuka itu bertujuan mendekati golongan muda selain menyediakan ruang selamat untuk mereka berkongsi pengalaman dan mendapatkan bantuan berkaitan isu buli.

Pada masa sama, beliau berkata KBS turut menyasarkan pengurangan sebanyak 35 peratus kes buli yang dilaporkan, khususnya di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Langkah awal yang paling penting ialah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu buli. Selepas itu, kita akan menilai keberkesanan program melalui kadar penurunan kes yang direkodkan,” katanya.

Dalam usaha memperluas akses kepada bantuan dan sokongan, beliau memaklumkan platform digital antibuli.my turut diperkenalkan sebagai medium aduan dan rujukan awal kepada mangsa.

Menurutnya, aduan yang diterima akan disalurkan kepada pihak serta agensi berkaitan termasuk pakar dan talian bantuan sedia ada bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil dengan segera.

Kempen Anti-Buli Peka Rasa dilaksanakan menerusi kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Yayasan Prihatin sebagai rakan strategik, selaras usaha memperkukuh peranan belia sebagai ejen perubahan dalam membina masyarakat yang lebih selamat dan bebas daripada budaya buli. -Astro Awani