Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mempelawa mana-mana keluarga daripada masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran yang memerlukan penempatan untuk berpindah dan tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.

Baginda menzahirkan rasa simpati dan dukacita serta prihatin terhadap isu pertikaian tanah membabitkan masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, berkata baginda sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku dan amat memahami kegusaran serta kesulitan yang sedang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata Tunku Azizah berpendapat masyarakat Orang Asli bukan sekadar sebahagian daripada rakyat Pahang, bahkan sentiasa mempunyai tempat yang amat istimewa di hati baginda.

“Menerusi kajian tesis yang sedang disiapkan oleh baginda ketika ini, peranan Orang Asli adalah mustahak di dalam kemajuan negeri sejak dahulu lagi. Justeru itu kesejahteraan dan masa depan mereka sentiasa menjadi antara perkara yang diberikan perhatian oleh baginda.

“Demi perasaan kasih dan tanggungjawab itu, baginda dengan penuh ihsan mempelawa mana-mana keluarga daripada masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot, Maran yang memerlukan penempatan untuk berpindah dan tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.

“Baginda turut menegaskan bahawa masyarakat Orang Kita tidak perlu bimbang mengenai masa depan mereka. Sekiranya pada masa hadapan tanah milik baginda di Kuala Wau itu dibangunkan, baginda akan memastikan masyarakat Orang Kita yang menetap di situ akan terus mempunyai tempat tinggal dan tidak akan dipinggirkan.

“Mereka akan terus dibela dan boleh tinggal di kawasan tersebut. Baginda juga menegaskan bahawa pelawaan ini tidak terhad kepada masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot, Maran sahaja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mana-mana masyarakat Orang Asli yang memerlukan tempat berteduh atau penempatan baharu juga adalah dipersilakan untuk tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Katanya, baginda berharap pelawaan itu dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang terkesan, selain memastikan kebajikan masyarakat Orang Kita terus terbela tanpa mengira latar belakang atau keadaan.

“Pada masa yang sama, baginda menyeru semua pihak yang terbabit mengutamakan semangat permuafakatan, saling menghormati dan berunding dengan penuh hikmah dalam mencari jalan penyelesaian yang adil, berhemah serta memelihara kepentingan semua pihak.

“Baginda turut berharap segala usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak-pihak berkaitan dapat menghasilkan penyelesaian yang terbaik demi kesejahteraan masyarakat Orang Kita serta keharmonian negeri Pahang.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan mengurniakan jalan penyelesaian yang membawa kebaikan kepada semua pihak,” katanya. -BH Online