Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, meluahkan kekecewaan terhadap sikap sebahagian penyokong yang membanjiri Dataran Merdeka bagi menyaksikan aksi final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina awal pagi tadi apabila meninggalkan kawasan bersejarah itu dalam keadaan dipenuhi sampah.

Beliau berkata, orang ramai seharusnya menunjukkan rasa sayang terhadap Kuala Lumpur dengan memastikan kawasan awam sentiasa bersih selepas sesuatu program atau acara selesai berlangsung.

“Saya percaya rakyat Kuala Lumpur sayang akan bandar ini. Sebab itu saya kecewa apabila Dataran Merdeka, selepas menjadi tempat kita bersorak dan bergembira bersama, namun ditinggalkan dalam keadaan begini,” katanya.

Hannah turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertindak pantas menjalankan kerja pembersihan sebaik sahaja acara berkenaan berakhir.

Katanya, ketika orang ramai sudah pulang, petugas DBKL masih bertungkus-lumus memastikan Dataran Merdeka kembali bersih, selesa dan selamat untuk kegunaan masyarakat.

Beliau berkata, setiap pembayar cukai sememangnya berhak menerima perkhidmatan awam berkualiti, namun tanggungjawab menjaga kebersihan tidak seharusnya dipikul sepenuhnya oleh petugas kebersihan.

“Buang sampah ke dalam tong adalah tanggungjawab asas setiap individu dan tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada petugas kebersihan.

“Hak untuk menerima perkhidmatan tidak bermaksud semua tanggungjawab boleh diserahkan kepada petugas awam. Mereka tidak sepatutnya terpaksa membersihkan sampah yang sengaja kita tinggalkan,” katanya.

Hannah berkata, Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi penganjuran acara, sebaliknya sebuah kawasan bersejarah yang menjadi lambang maruah ibu negara serta negara.

Beliau turut mengaitkan isu itu dengan aspirasi Malaysia MADANI yang bukan sahaja menekankan tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik, malah menggalakkan rakyat memainkan peranan menjaga kepentingan bersama.

Katanya, seperti yang sering ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemajuan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi juga melalui sikap masyarakat dalam menghormati dan memelihara kemudahan serta ruang awam.

Sehubungan itu, Hannah sekali lagi menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga DBKL yang bertugas membersihkan Dataran Merdeka, selain menggesa orang ramai bersama-sama menjaga kebersihan ibu negara.

“Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jangan kotorkan rumah sendiri dan mengharapkan orang lain membersihkannya,” katanya. -BH Online