JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang baharu dilantik tidak mempunyai ruang untuk ‘berbulan madu’, sebaliknya perlu terus bekerja keras bagi menterjemahkan mandat besar diberikan rakyat dan menjayakan agenda Maju Johor 2030.
Beliau berkata, pelantikan sebagai EXCO bukan satu keistimewaan, sebaliknya amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh komitmen demi memastikan kebajikan Bangsa Johor terus terbela
“Saya mengingatkan seluruh barisan EXCO bahawa kita tiada masa untuk berbulan madu, tidak ada percutian bulan madu.
“Mandat besar dan berharga yang diberikan Bangsa Johor perlu diterjemahkan kepada kerja yang lebih kuat, penyampaian yang lebih cekap dan hasil yang dapat dirasai setiap rakyat,” katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana di sini hari ini.
Terdahulu, semua 10 EXCO Kerajaan Johor yang baharu dilantik mengangkat sumpah jawatan masing-masing pada Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene, pagi ini.
Onn Hafiz berkata, keutamaan pentadbiran kerajaan negeri selepas ini untuk meneruskan pelaksanaan agenda Maju Johor 2030 dengan lebih fokus dan berkesan demi membina Johor yang lebih maju, makmur serta sejahtera.
Katanya, barisan EXCO yang dibentuk menggabungkan pemimpin berpengalaman dan muka baharu bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus kukuh, cekap serta responsif dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tunku Mahkota Ismail atas perkenan melantik barisan EXCO baharu bagi menerajui pentadbiran negeri.
“Saya bagi pihak Kerajaan Johor merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Tunku Mahkota Ismail terhadap pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang baharu,” katanya.
Onn Hafiz turut mengucapkan tahniah kepada semua 10 EXCO dilantik dan mengingatkan mereka supaya melaksanakan tugas dengan penuh integriti, dedikasi serta semangat kerja berpasukan.
Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinannya akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, mempercepat pelaksanaan dasar serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh rakyat.
Katanya, pentadbiran kerajaan negeri akan terus membela kepentingan semua masyarakat tanpa mengira kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli kerana semuanya adalah Bangsa Johor.
“Semoga setiap keputusan dibuat sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat dan mendapat keberkatan serta keredaan Allah SWT. Muafakat itu berkat,” katanya. -BH Online

