Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bertitah agar semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang baharu dilantik melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul dengan penuh dedikasi, integriti serta keikhlasan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, setiap dasar dan keputusan yang dibuat barisan EXCO hendaklah sentiasa berteraskan kepentingan rakyat serta memberi manfaat kepada Johor secara keseluruhannya.

Baginda turut bertitah agar semua EXCO Johor sentiasa turun padang memahami keperluan masyarakat serta memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dilaksanakan secara cekap, berkesan dan berintegriti.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail berangkat ke Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Taat Setia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini pagi ini.

Pelantikan barisan EXCO itu dibuat selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dua pertiga apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang berlangsung pada 11 Julai lalu, sekali gus mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri.

Ahad lalu, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua di hadapan Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene, di sini. -BH Online